UTeM perkenal Menu Siswa Rahmah RM3.50

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

DURIAN TUNGGAL 31 Mac – Prihatin, cakna dan menyambut aspirasi nasional maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan Menu Siswa Rahmah pada harga serendah RM3.50.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM menerusi inisiatif dan pendekatan segera telah melaksanakan menu berkenaan bermula 20 Mac lalu.

Jelasnya, pelaksanaan menu tersebut adalah berkuatkuasa sepenuhnya kepada semua kafertaria yang beroperasi dalam Kampus UTeM sepenuhnya.

Katanya, kejayaan pelaksanaan ini menzahirkan UTeM terus proaktif dan sentiasa menyahut aspirasi yang digagaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini.

“Di sini lebih 62 peratus pelajar UTeM yang berstatus B40 daripada 11,000 pelajar layak menikmati Menu Siswa Rahmah pada harga serendah RM3.50 tersebut.

“UTeM sentiasa berikhtiar dan berusaha menjayakan pelbagai inisiatif bagi membantu pelajar miskin terutama golongan B40 supaya tidak terjejas pengajian mereka disebabkan kesusahan dan keperitan hidup.

“Pengenalan Menu Siswa Rahmah tepat pada waktunya terutama ketika keadaan kos sara hidup yang nampaknya mempamerkan tren peningkatan pada masa kini,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengisian Menu Siswa Rahmah RM 3.50 ini beliau berkata, ianya terdiri 2 pilihan iaitu pilihan 1 ialah set nasi putih, ikan atau ayam, sayur, kuah atau sup kosong dan air kordial.

Sementara itu pilihan 2 pula terdiri dengan set nasi atau bihun atau mi atau kuetiau goreng digandingkan dengan telur dan beberapa pilihan air yang mana memberikan variasi buat para pelajar.

Dr. Massila berkata, pelaksanaan Menu Siswa Rahmah dijayakan menerusi kerjasama hebat bersama pihak pengusaha kafetaria melibatkan 7 buah kafetaria kesemuanya dalam kampus induk dan 2 buah di Kampus Teknologi UTeM.

“Sebagai insentif dan timbal balik dari para pengusaha yang menyediakan Menu Siswa Rahmah pihak pengurusan tertinggi universiti bersetuju untuk memberi pengecualian sewaan sehingga akhir tahun 2023 kepada semua pengusaha kafeteria,” ujarnya lagi.

Menu Siswa Rahmah adalah inisiatif UTeM di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang mendatangkan manfaat yang besar bukan sahaja kepada mahasiswa B40 malahan bermanfaat buat seluruh warga UTeM dan pihak luar UTeM turut dapat menikmatinya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada masa yang sama Menu Rahmah dengan harga RM5.00 yang telah terlebih dahulu diperkenalkan sebelum ini masih diteruskan oleh pengusaha kafetaria di UTeM dan boleh dinikmati oleh semua warganya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1948
Kongsi :
Previous post Bantuan Aidilfitri ukir senyuman pengayuh beca Melaka
Next post Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13
Ubah saiz-+=