Bantuan Aidilfitri ukir senyuman pengayuh beca Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 31 Mac – Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada seramai 284 pengayuh beca berdaftar di negeri ini yang telah menjadi ikon pelancongan Negeri Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari berkata, setiap pengayuh beca diberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM300 beserta kit makanan.

“Pemberian sumbangan ini bermula sejak tahun 2010 dan ini merupakan tahun ke-14 di mana Kerajaan Negeri memberikan lagi sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengayuh beca Melaka.

“Semoga dengan bantuan diberikan ini dapat mengukir senyuman dan memberikan kebahagiaan kepada semua pengayuh beca.

“Terima kasih kepada Mamee Double Decker dan Oriental Food Industries di atas sumbangan ‘goodies’ raya kepada semua pengayuh beca ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada Pengayuh Beca Negeri Melaka dan Program Kacau Bubur Lambuk sempena Bulan Ramadan Al-Mubarak di Auditorium Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat.

WhatsApp Image 2023-03-31 at 13.12.05
ZAIDI bergambar bersama penerima bantuan Aidilfitri.

Dalam pada itu, Zaidi menggalakkan semua pengayuh beca di negeri ini menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai bagi memudahkan pelancong yang ingin menaiki beca.

“Tahun lepas BPP telah membantu 80 peratus pengayuh beca Melaka untuk mendaftar aplikasi e-wallet Touch ‘n Go (TNG), Melaka merupakan antara perkhidmatan beca pertama di Malaysia yang menggunakan aplikasi ini.

“Justeru kita harap semua pengayuh beca yang ada menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai di masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post Bandar Universiti Melaka Fasa 1 dijangka bermula hujung tahun ini
Next post UTeM perkenal Menu Siswa Rahmah RM3.50
Ubah saiz-+=