Bandar Universiti Melaka Fasa 1 dijangka bermula hujung tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 31 Mac – Projek Bandar Universiti pertama Melaka dijangka akan memulakan pembinaan hujung tahun ini, kata Pengurus besar Yayasan Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Menurut beliau, projek yang dinamakan Bandar Universiti Yayasan Melaka (BUYMe) itu bakal bermula dengan pembinaan fasa 1 membabitkan rumah kediaman bercampur seluas 36.6 hektar.

Menurut beliau, pihaknya kini dalam proses memilih rakan usahasama terdiri daripada pemaju yang berminat sebelum memulakan projek yang dijangka memakan masa selama tiga tahun itu.

“Alhamdulillah, baru-baru ini kita telah mengadakan taklimat dan membuka ‘request for proposal’ yang mana 21 pemaju telah menunjukkan minat untuk menjalin usahasama bersama Yayasan Melaka bagi pembangunan bandar universiti.

“Daripada jumlah itu, kita akan membuat saringan dan menyenarai pendek lima pemaju yang tampil dengan tawaran terbaik sebelum membawanya ke peringkat Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi tujuan pemilihan.

“Untuk fasa 1, kita memberi fokus kepada pembinaan rumah kediaman bercampur membabitkan rumah kos rendah da rumah mampu milik sebanyak 336 unit, selain lebih 100 unit rumah pegangan bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke program Iftar Bersama Anak Yatim dan Asnaf anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengerusi Yayasan Melaka Rosli Abdullah dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan berkata, Yayasan Melaka turut menumpukan kepada beberapa projek pembangunan lain yang sedang dan bakal berjalan sepanjang tahun ini.

Katanya, fokus utama yayasan berkenaan adalah untuk menjana pendapatan yang mana sebahagiannya akan disalurkan kepada sektor pendidikan untuk anak-anak Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4146
Kongsi :
Previous post 120 kanak-kanak ceria dapat duit raya RM150
Next post Bantuan Aidilfitri ukir senyuman pengayuh beca Melaka
Ubah saiz-+=