Terima kasih atas kepercayaan kepada saya – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 31 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

Ab Rauf turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Kepada Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka ke-12, saya merakamkan ucapan terima kasih atas jasa beliau memimpin Kerajaan Negeri sejak Mac 2020 lalu.

“Jutaan terima kasih juga kepada pucuk pimpinan tertinggi kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh komitmen dan taat setia terhadap bumi Melaka yang dicintai.

“Ingin saya tegaskan kerajaan ini adalah sebuah kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf tidak menolak kemungkinan barisan Exco Negeri Melaka yang akan dilantik baharu membentuk kerajaan perpaduan.

“Saya yakin dengan kerjasama parti- parti politik yang sedang bergabung di bawah kerajaan perpaduan diperingkat persekutuan, mungkin kita akan lihat terbentuknya kerajaan perpaduan ini di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5530
Kongsi :
Previous post Kerangka dasar pentadbiran dikekal dan ditambah baik – Ab Rauf
Next post Barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka cerminkan Kerajaan Perpaduan
Ubah saiz-+=