
KERAP KEMALANGAN, LALUAN DUYONG DINAIK TARAF DEMI KESELAMATAN
DUYONG 18 Julai – Projek menaik taraf jalan sejauh 1.6 kilometer dari Persimpangan Duyong Bestari ke kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Duyong dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, laluan berkenaan digunakan oleh majoriti daripada kira-kira 33,000 penduduk DUN terbabit dan merupakan salah satu lokasi yang kerap berlaku kemalangan.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, projek bernilai RM3.8 juta itu bukan sekadar naik taraf infrastruktur, tetapi memberi penekanan utama kepada aspek keselamatan pengguna jalan raya memandangkan kawasan tersebut dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi.
“Projek ini tidak melibatkan pelebaran jalan, sebaliknya meliputi pemasangan pembahagi jalan (median), pembinaan sebuah bulatan dan pengalihan dua lampu isyarat yang digantikan dengan satu sistem lampu isyarat yang lebih berkesan.
“Kawasan ini kerap berlaku kemalangan, hampir setiap hari. Setiap minggu pasti ada kemalangan, kecil atau besar. Jadi aspek keselamatan asas utama dalam reka bentuk naik taraf ini, sebelum mengambil kira kelancaran trafik.
“Walaupun reka bentuk baharu ini mungkin menyebabkan laluan pusingan menjadi lebih jauh bagi sesetengah pengguna, namun ia adalah pengorbanan yang kecil demi keselamatan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Peluncuran Projek Menaiktaraf Jalan di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Duyong dan Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Mengecat Parapat di Kawasan Jambatan Duyong (Jalan Duyong – Bukit Baru) yang disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Khalil dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.