
KERJASAMA STRATEGIK PACU PEMBANGUNAN INKLUSIF DI MELAKA
AYER KEROH 24 Julai – Kerajaan Negeri komited dan akan terus menyokong usaha pemaju yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga menjadikan Melaka negeri moden, inklusif dan berdaya saing.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri bersama pemaju seperti MTD Properties dapat merealisasikan visi terbabit secara lestari.
Katanya, MTD Properties merupakan contoh pemaju yang bukan sahaja giat membina nama dan keuntungan, malah turut memikirkan impak sosial serta tanggungjawab terhadap komuniti yang didiami.
“Di Melaka sebanyak 65.7 hektar (162.5 ekar) tanah di kawasan Ayer Keroh telah dimanfaatkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri bagi pembinaan institusi pendidikan, masjid, taman rekreasi dan pelbagai kemudahan awam lain yang menyokong kesejahteraan komuniti setempat.
“Menerusi kerjasama strategik ini juga dimaklumkan MTD Properties merancang untuk menambah pelaburan strategik baharu di Ayer Keroh melibatkan nilai sekitar RM4 bilion.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi membawa potensi besar kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti ekonomi tempatan dan limpahan manfaat sosial secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Jualan MTD Properties Sempena Kerjasama Strategik Bersama Kerajaan Negeri Melaka di Taman Tasek Utama, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Pengerusi Eksekutif Kumpulan MTD Datuk Nik Faizul Nik Hussain dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD Dr. Nik Fauzan Nik Faizul.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata MTD Properties terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam industri pembangunan hartanah, di mana di Melaka sahaja, syarikat ini telah melaksanakan 41 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM4.5 bilion sejak mula bertapak di negeri ini pada tahun 1995.
Jelasnya, dengan pengalaman lebih 35 tahun, MTD Properties bukan nama asing, malah sedang membangunkan beberapa projek di Melaka termasuk MTD Cinerea Heights; MTD Nexus 28 Industrial Park dan MTD Elysia Heights.
“MTD Properties merupakan contoh pemaju yang bukan sahaja giat membina nama dan keuntungan, malah turut memikirkan impak sosial serta tanggungjawab terhadap komuniti yang didiami. Kerajaan Negeri amat menghargai nilai sebegini kerana ia memperkukuh jaringan sosial masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.