Kes COVID-19 menurun, Melaka tidak wajibkan pelitup muka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 16 Januari – Galakan kepada orang ramai untuk memakai pelitup muka di lokasi tumpuan dan tempat tertutup membuahkan hasil apabila kadar jangkitan COVID-19 di Melaka dalam tempoh dua minggu menunjukkan penurunan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pada minggu epid terakhir minggu lalu, jangkitan kes yang direkodkan adalah kurang daripada 200 kes, berbanding sehingga 250 kes yang direkodkan sebelum ini.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di lokasi tumpuan seperti yang dicadangkan sebelum ini.

“Rentetan kes penularan COVID-19 di Melaka mencatatkan penurunan sejak dua minggu lalu Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di negeri ini.

“Sebelum ini Melaka mencatat 250 kes dan selepas pengumuman menggalakkan pemakaian pelitup muka, alhamdulillah kes COVID-19 telah mencatat penurunan kepada 217 pada minggu berikutnya.

“Kemudian kes itu terus turun kepada 180 kes pada minggu kedua dan ini menunjukkan kesedaran rakyat negeri ini semakin meningkat untuk menjaga perlindungan diri daripada terdedah dengan penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka Tahun 2023 diadakan di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal bagaimanapun tetap mengingatkan rakyat Melaka agar tidak cepat berpuas hati, sebaliknya perlu terus meletakkan ‘perisai’ pada diri dan keluarga melalui pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal yang masih digalakkan sehingga kini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3845
Kongsi :
Previous post Sistem tanpa tunai perlu ada keseimbangan – KM
Next post Tolonglah pamer tanda harga
Ubah saiz-+=