
KES DERA DI TASKA TURUN 85 PERATUS
SERI NEGERI 21 Julai – Kes dera di taman asuhan kanak-kanak (taska) di Negeri Melaka bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 85.7 peratus atau hanya satu sahaja kejadian direkodkan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, sementara itu bagi 2024 pula sebanyak tujuh kejadian dera di taska dilaporkan.
Mengulas lanjut Kalsom berkata, berdasarkan rekod setakat ini sebanyak 150 taska dan 117 pusat jagaan berdaftar beroperasi seluruh Melaka.
“Perkembangan positif ini adalah hasil kesungguhan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melaksanakan pelbagai langkah bagi mengelakkan kes dera daripada berulang.
“JKM turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta mencabuli hak kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai kes penderaan di pusat jagaan di Melaka pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, hari ini.
Menurut Kalsom, meskipun peratusan kes penderaan kanak-kanak di taska dan pusat jagaan menunjukkan penurunan, JKM terus proaktif dalam memastikan setiap institusi mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kerajaan Negeri menerusi JKM memandang serius operasi premis tidak berdaftar atau gagal patuh peruntukan undang-undang.
“Justeru JKM telah menubuhkan ‘Task Force’ Pemutihan Pusat Jagaan dan Taman Asuhan Kanak-Kanak yang Tidak Berdaftar secara berterusan sehingga kini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.