Kes tak terkawal punca PKPD di Sebatu

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER MOLEK 5 Mei – Faktor sukar mengawal jangkitan COVID-19 dalam komuniti menjadi punca kerajaan negeri memohon agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kes berkenaan merebak terlalu cepat sehingga menjangkiti beberapa generasi, termasuk melibatkan komuniti, institusi keagamaan dan pendidikan serta tempat kerja.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 458 kontak rapat telah dikesan dalam kluster berkenaan membabitkan 83 kes positif.

“Jadi disebabkan faktor itu, kita memohon PKPD dilaksanakan kerana kes di kawasan itu hampir tidak boleh dikawal.

“Jika kita tidak tutup kawasan berkenaan dikhuatiri kes akan lebih meningkat pada Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui dalam majlis Sumbangan Aidilfitri di Kompleks Japerun Ayer Molek, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pelaksanaan PKPD di Kampung Permatang Tulang itu juga akan menjadi yang pertama dikenakan dalam kluster membabitkan komuniti di negeri ini.

Atas faktor itu, ujarnya, masyarakat di kawasan tersebut tidak boleh keluar dan tidak dapat menyambut Aidilfitri, selain orang luar juga tidak dibenarkan masuk sehingga tempoh PKPD tamat.

“Namun, jangan risau, berkaitan makanan dan barangan keperluan asas, perkara itu akan diuruskan pemimpin setempat sepanjang tempoh PKPD selama 14 hari.

“Kita berharap usaha yang dilakukan dapat mengekang penularan lebih teruk di dalam negeri ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di kawasan berkenaan bermula 7 hingga 20 Mei depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, bagi menyekat penularan jangkitan kes COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post PKPD di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, selama 14 hari bermula Jumaat ini – Ismail Sabri
Next post Bersosial tanpa patuh SOP di kedai makan punca kluster baharu di Machap Baru
Ubah saiz-+=