Sorting by

×

KESEPADUAN INISIATIF AWAM-SWASTA, BUKTI MELAKA DISENANGI PELABUR

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 18 Julai – Rakan strategik, pelabur dan pemain industri diminta untuk bersama-sama menjadikan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS) sebagai platform kerjasama yang produktif, dinamik dan telus.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri kini bertindak secara proaktif dalam menjayakan agenda ekonomi negeri yang lestari serta inklusif, sehubungan itu penubuhan JKAS amat bermanfaat buat semua pihak.

Katanya, setakat ini lebih 50 syarikat aktif bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam pelbagai sektor utama merangkumi pembangunan hartanah, pelabuhan, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

“Kita bina Melaka bukan dengan persaingan sesama sendiri, tetapi kesepaduan sebagai satu pasukan. Sejak 2014, inisiatif Kerjasama Awam Swasta telah berjaya menyumbang lebih RM270 juta kepada hasil Kerajaan Negeri. Secara purata, ia merangkumi antara 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan hasil tahunan negeri.

“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi ia menjadi satu indikator keyakinan pelabur terhadap ‘efficiancy’ pentadbiran meliputi dasar ekonomi negeri serta komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan prinsip ‘ease of doing business’.

“Sebagai bukti keberkesanan pendekatan ini, kita menyaksikan dua pemeteraian perjanjian tambahan serta penyerahan ‘mock cheque’ oleh syarikat konsesi tambakan laut,” kata Ketua Menteri ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran JKAS Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, konsesi tambakan laut merupakan kesinambungan kepada sejarah panjang pembangunan pesisir pantai negeri Melaka yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi sejak tahun 1970.

“Setakat ini lebih 3,000 ekar (1,214 hektar) kawasan pantai telah melalui proses reklamasi atau ditambak, dengan kira-kira satu per tiga kawasan telah dibangunkan secara komprehensif meliputi projek perumahan, hotel, ruang komersial dan pelbagai infrastruktur sokongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post JKAS PACU SINERGI SEKTOR AWAM DAN SWASTA
Next post CINTA WARISAN BERMULA DI BANGKU SEKOLAH