Kesesakan di Klebang perlukan bantuan pusat

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KLEBANG 6 Julai – Masalah kesesakan lalu lintas di Klebang memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk ditangani, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong.

Menurutnya, penyelesaian isu berkenaan memerlukan kajian menyeluruh dan kos yang besar termasuk meneliti cadangan membina jalan baharu di pesisir pantai.

Katanya, perkara terbabit telah disuarakan dalam sesi ‘Townhall’ Bersama Menteri Ekonomi sebelum ini dan diharap ia akan mendapat pertimbangan sewajarnya.

“Kita sangat perlukan bantuan (kerajaan) pusat dalam menangani isu ini dan saya sendiri telah menghantar permohonan bertulis kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dibangkitan.

“Saya difahamkan, JKR termasuk Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses mengkaji semula reka bentuk bulatan dan jalan-jalan berhampiran sebelum membentangkan semula kepada saya.

“Diharapkan cadangan membina jalan pesisir pantai akan dipertimbangkan kerana ia bukan sahaja membantu penyuraian trafik, tetapi juga berupaya merangsang pembangunan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke sebuah kilang kopi di Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, mengatasi isu kesesakan itu perlu menjadi keutamaan memandangkan Klebang merupakan antara lokasi tumpuan pelancong setiap hujung minggu.

Katanya, sekiranya masalah itu tidak diselesaikan sewajarnya, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan ‘mood’ pelancongan di kawasan itu.

“Kita telah merancang pelbagai tarikan di Klebang, namun masalah trafik ini juga perlu diselesaikan bersama.

“Tumpuan paling utama ketika ini ialah membabitkan jalan dari Pulau Gadong hingga ke Bulatan Klebang dan persimpangan lampu isyarat Batang Tiga dan saya harap penyelesaian menyeluruh dapat dicapai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5718
Kongsi :
Previous post Kesal dakwaan guru agama ditukarkan status kontrak khas
Next post Manfaatkan teknologi untuk atasi kesesakan
Ubah saiz-+=