
KETUA MENTERI TINJAU PERSIAPAN AKHIR WTD, WTC 2025
KLEBANG 17 September – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan persiapan akhir Majlis Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Ab Rauf berkata, setakat ini semua jabatan dan agensi kerajaan terlibat sedang giat melaksanakan persiapan bagi memastikan majlis bakal dihadiri 159 delegasi asing itu berjalan lancar.
“Wakil jabatan dan agensi turut serta pada lawatan tapak hari ini, kita berbincang mengenai fasa terakhir pelancaran WTD dan WTC 2025.
“Sementara itu persediaan tempat juga sedang giat berjalan dan dijangka siap dalam tempoh lima hari,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan tapak di Encore Melaka di Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat WTD, Norena Jaafar.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad, wakil jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Untuk rekod WTD 2025 dijadualkan berlangsung dari 27 hingga 29 September ini adalah inisiatif Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) bagi meraikan sumbangan sektor pelancongan terhadap pembangunan ekonomi, budaya dan sosial di seluruh dunia.
Tahun ini, Melaka terpilih mewakili Malaysia sebagai tuan rumah, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.