Khidmat Tajuddin sebagai pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LUMPUR 26 Mei 2021 – Perkhidmatan Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditamatkan serta-merta hari ini.

Difahamkan, penamatan khidmat beliau dipersetujui Menteri Kewangan (Diperbadankan) menerusi surat persetujuan penamatan bertarikh hari ini dan ditandatangani oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Dimaklumkan, Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Sri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah Datuk Seri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat,” demikian menurut surat yang ditandatangani Tengku Zafrul itu.

Terdahulu surat berkenaan tular sejak petang tadi, namun pihak media belum mendapatkan maklumbalas daripada Tajuddin.

Untuk rekod, pada 13 Mei 2020 Prasarana mengumumkan perlantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai Pengerusi baharunya berkuat kuasa 11 Mei 2020.

Beliau menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

Berasal dari Kampung Gajah, Perak, Tajuddin adalah graduan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 1972.

Beliau juga pernah menjadi Pengurus Jualan di Cycle & Carriage (M) Sdn Bhd, iaitu pemegang francais dan pengedar tunggal kereta buatan Mitsubishi Motors.

Difahamkan keputusan dibuat oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu dipercayai berikutan terdapat desakan supaya Tajuddin meletakkan jawatan susulan kegagalan dan tiada rasa sensitif semasa mengendalikan sidang akhbar insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada Isnin lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post Mangsa insiden LRT boleh tuntut bantuan Faedah Perkeso
Next post LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi selepas dijamin selamat
Ubah saiz-+=