Mangsa insiden LRT boleh tuntut bantuan Faedah Perkeso

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

PUTRAJAYA 26 Mei – Mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada Isnin layak menuntut bantuan faedah seperti yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kata Menteri Sumber Manusia Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera.

“Di bawah Akta 4, Perkeso menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan ketika sedang bekerja atau semasa perjalanan pergi dan balik dari kediaman dan tempat kerja mereka menerusi Skim Bencana Pekerjaan.

“Sehubungan itu, mangsa kemalangan tren LRT terbabit yang mencarum dengan Perkeso dan disahkan mengalami kes bencana kerja layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata bagi mangsa kemalangan terdiri daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789, mereka layak memohon faedah Perkeso jika kemalangan itu berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.

Beliau berkata antara manfaat yang disediakan kepada mangsa yang layak di bawah kedua-dua akta ialah rawatan perubatan percuma di klinik panel Perkeso atau klinik dan hospital kerajaan menerusi Faedah Perubatan.

Katanya selain itu, bagi mereka yang diberi cuti sakit dan disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka.

Saravanan juga berkata jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan itu, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani iaitu bekalan alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat serta kasut khas.

“Mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan, saya menyeru majikan ataupun ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat Perkeso yang berdekatan.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa kemalangan ini dan berharap agar semua mangsa segera pulih daripada kecederaan yang dialami,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi nombor careline Perkeso di 1-300-22-8000 atau e-mel kepada [email protected].

Terdahulu, media melaporkan 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung pada kira-kira 8.45 malam Isnin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Polis nafi video tular satu keluarga mati di rumah akibat COVID-19
Next post Khidmat Tajuddin sebagai pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta
Ubah saiz-+=