Kilang ayam terbesar dibenarkan beroperasi semula

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Jun – Kilang pemprosesan ayam terbesar daerah ini di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, di sini yang diarahkan menghentikan operasi mulai 22 Mei lalu akibat penularan COVID-19, dibenarkan beroperasi semula, mulai 5 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kebenaran itu diberikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah selepas berpuas hati dengan tindakan pihak pengurusan kilang bagi mengawal penularan pandemik berkenaan.

Katanya, pemilik syarikat dibenarkan beroperasi semula selepas semua arahan dipatuhi, terutama 100 peratus pekerja sudah menjalani saringan kesihatan dan semua keputusan sudah diperoleh serta kes positif sudah diambil tindakan.

Selain itu, semua kontak rapat sudah dikesan dan dikuarantin 10 hari serta perlu menjalani dua kali ujian calitan.

RAHMAD.

“Jika semua disinfeksi di seluruh kilang sudah dibuat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta PKD berpuas hati, operasi dibenarkan dengan kapasiti pekerja yang bukan dalam proses menjalani kuarantin.

“Kilang itu dipantau dari semasa ke semasa hingga tiada kes positif didaftarkan selama 28 hari dari tarikh kes terakhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 22 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengarahkan kilang berkenaan menghentikan operasi hingga 4 Jun lalu.

Ia berikutan seramai 175 pekerja, kebanyakannya pekerja asing disahkan positif COVID-19 pada tarikh berkenaan selepas menjalani ujian calitan.

Berikutan itu, baki kira-kira 600 pekerja menjalani ujian calitan secara berperingkat sebelum mereka yang positif dihantar menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Sementara itu, pekerja kilang yang hanya ingin dikenali sebagai Ani berkata, semua pekerja positif sudah menjalani kuarantin di PKRC MITC.

“Alhamdulillah, saya sudah selesai menjalani kuarantin 10 hari di MITC dan disahkan sembuh daripada penyakit itu.

“Semua pekerja yang memakai gelang merah jambu sudah dibenarkan membuka gelang dan bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui sejurus selepas keluar dari kilang itu hari ini.

Dia menjelaskan, keseluruhan kira-kira 800 pekerja sudah menjalani ujian calitan secara berperingkat sejak 20 Mei lalu.

Katanya, kes COVID-19 di kilang itu tidak membabitkan kematian atau yang dirawat di Hospital Melaka akibat menghidap COVID-19 pada peringkat tiga atau empat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2249
Kongsi :
Previous post Harimau Malaya tewas lagi kepada Vietnam
Next post Tabik! : 93 pelajar Orang Asli cemerlang dalam SPM 2020
Ubah saiz-+=