Kilang ditutup tujuh hari

0
3654
KAKITANGAN BKSA menampal notis penutupan operasi kilang selama tujuh hari.

JASIN 3 Julai – Sebuah kilang kitar semula di Taman Perindustrian Jasin diarahkan tutup selama tujuh hari bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Arahan penutupan itu dibuat susulan dakwaan penduduk tempatan di kawasan sekitar Merlimau dan Jasin terdapat bahan dan air paip berbau berlaku di kawasan itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA), pihaknya bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menjalankan beberapa siri operasi dan penyiasatan berhubung isu itu.

Jelasnya, berdasarkan penguatkuasaan dan hasil pemantauan selama dua minggu itu, BKSA telah mengenal pasti faktor mengakibatkan air paip berkenaan berbau hingga menjejaskan pengguna air di sekitar kawasan terbabit.

“Hasil analisa makmal persempelan air yang diambil mendapati terdapat bahan dan bau yang sama yang terdapat di loji ‘intake’ Chinchin dan Lanchang dengan syarikat berkenaan.

“Berikutan itu, BKSA telah mengemukakan notis arahan penutupan operasi kilang selama tujuh hari bermula hari ini bagi memastikan segala kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian dilakukan dalam masa yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa agar pihak syarikat mematuhi segala aspek telah ditetapkan.

Sehubungan itu, BKSA mengingatkan semua syarikat atau individu yang sengaja atau tidak sengaja melakukan pencemaran sumber air boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39, Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.