MUFC tamat ‘graduasi’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SELEPAS dua minggu berkampung di Paya Rumput, Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) akhirnya selesai menjalani kem latihan berpusat secara kuarantin menggunakan model gelembung sukan (camp based training), hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengurus Pasukan, Muhammad Akram Abdullah yang menyifatkan penganjuran kem tersebut berjaya dan menepati objektif utama yang disasarkan.

Jelasnya, fokus utama latihan yang disusun ialah mendapatkan keserasian pemain baharu dan sedia ada, selain mempersiapkan pasukan menghadapi baki saingan Liga Super yang akan disambung semula 24 April depan.

“Saya amat bersyukur kerana kem latihan berpusat yang pertama kali diadakan ini amat berjaya dengan program-program yang disusun pihak kejurulatihan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak Kenteam Sdn Bhd dan MUFC yang telah menjayakan pogram kali ini kerana ia sangat penting bagi memberi keserasian dan meningkatkan kayakinan pemain dalam mendepani cabaran perlawanan pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

PEMAIN bersama staf kejurulatihan mendengar amanat secara maya daripada Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Seri Justin Lim pada hari terakhir kem latihan berpusat di Paya Rumput.

Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, memandangkan pasukan masih mempunyai masa sebelum sepak mula Liga Super bersambung, pihaknya bercadang untuk mengadakan kem latihan berpusat Fasa 2 di lokasi yang sama yang mana tarikhnya akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita sedang dalam perancangan untuk menyusun satu lagi kem latihan berpusat 2.0 kerana berpuas hati dengan program yang diadakan sebelum ini demi mempersiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua liga nanti.

“Saya amat berharap segala usaha dan keringat yang ditunjukkan pasukan sepanjang tempoh ini akan membuahkan hasil dan membantu pasukan dalam baki perlawanan musim ini,” katanya lagi.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post Bekas ejen Pos Rider diutamakan untuk khidmat sambilan
Next post Kilang ditutup tujuh hari
Ubah saiz-+=