KKM telus, maklumkan jika ada kes kematian disebabkan vaksin – Khairy

Masa Membaca:58 Saat

PUTRAJAYA 26 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) akan telus dan memaklumkan kepada rakyat sekiranya terdapat kes kematian disebabkan vaksin atau dos penggalak COVID-19.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata setakat ini tiada kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin dengan disahkan tiga jawatankuasa.

Ia melibatkan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19, Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 dan Jawatankuasa Teknikal Perubatan.

Beliau berkata perkongsian laporan bedah siasat kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan Ibu Pejabat KKM Dr Chai Koh Meow menunjukkan kementerian tidak menyembunyikan sebarang maklumat kepada umum.

Khairy berkata demikian pada sidang media perkembangan COVID-19 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM mendapat kebenaran keluarga mendiang Dr Chai untuk berkongsi dapatan laporan bedah siasat berkenaan.

“Hasil itu menyatakan sebab kematian mendiang Dr Chai ialah Hemopericardium akibat penyakit jantung koronari dan myocardial infarction,” katanya.

Dr Chai meninggal dunia pada 17 Nov lepas dan kematian beliau dikaitkan dengan dos penggalak yang diterima pada 9 Nov. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post Bersatu cari pengganti Rafiq – Hamzah
Next post Isu mutu pengadilan perlu diambil perhatian – Ahmad Faizal
Ubah saiz-+=