KM bantu lima beranak sebilik diami rumah sementara

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

POKOK MANGGA 3 Julai – Penantian lima beranak yang terpaksa melalui kehidupan sukar sejak tiga tahun lalu berakhir apabila diberikan kediaman selesa selain sebuah motosikal untuk mengubah nasib keluarga.

Syed Sidiq Shahabudin Syed Abdul Aziz, 42 berkata dia bersyukur nasib keluarganya turut mendapat perhatian Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut membantu adalah orang ramai dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tampil menghulur sumbangan berbentuk barangan keperluan.

Jelasnya, dia bersama isteri serta anak-anak berusia antara 10 hingga 16 tahun amat terharu menerima bantuan kediaman yang lebih selesa menerusi ihsan Ketua Menteri serta Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

“Alhamdulillah, rasa terharu dan gembira mendapat pertolongan itu dan apa yang lebih penting keselamatan anak-anak lebih terjamin kerana selama terkurung malah terpaksa berkongsi bilik air dengan penyewa lain.

“Dengan persekitaran yang lebih selesa di sini, dapatlah mereka membesar dengan sempurna dan saya sendiri akan mengubah nasib keluarga ke arah lebih baik termasuk mencari pekerjaan tetap,” katanya ketika ditemui di kediaman sementara di Rumah Pangsa Kampung Padang di sini hari ini.

SYED Sidiq (kanan) bersama tiga anaknya berusia antara 10 hingga 16 tahun gembira miliki rumah baharu lebih selesa.

Sebelum ini, media melaporkan lima beranak tersebut terpaksa berkongsi ruang sempit dengan menyewa sebuah bilik di Jalan Munshi Abdullah sejak tiga tahun lalu.

Kehidupan mereka sekeluarga semakin sukar apabila terpaksa mengikat perut sejak enam bulan lalu selepas pasangan Syed Sidiq dan isterinya, Erala Ismail, 45 hilang pekerjaan.

Susulan itu, kesusahan keluarga berkenaan mendapat perhatian Pejabat Ketua Menteri dan memindahkan mereka ke kediaman sementara itu hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Muhamad Ahyad Abdullah yang mewakili Sulaiman berkata, pihaknya turut berbincang bersama sebuah madrasah di Serkam bagi membantu kemasukan dua anak perempuan Syed Sidiq berusia 12 dan 10 tahun meneruskan pembelajaran.

“Bagi bantuan selanjutnya termasuk dari segi pekerjaan, kita akan susunkan kemudian kerana di peringkat pertama, kita selesaikan masalah kenderaan dan kediaman lebih selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom berkata, setakat ini pihaknya menampung sewa rumah serta bil elektrik dan air di kediaman sementara sehingga rumah baharu mereka siap dibaik pulih tiga minggu lagi.

MOHD Salleh (tengah) menyerahkan kunci rumah sementara kepada Syed Sidif sementara rumah baharu siap dalam tempoh tiga minggu lagi.

Katanya, pihaknya akan menyelaraskan semula kadar sewa beli bagi penempatan rumah baharu mengikut kesesuaian keluarga terbabit.

“Selepas itu, terpulang kepada keluarga berkenan sama ada hendak beli atau sewa dan mungkin kadar sewa akan datang kita cuba selaraskan dengan mendapatkan bantuan MAIM (Majlis Agama Islam Melaka),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1098
Kongsi :
Previous post Kibar bendera putih atau tidak, yang susah wajar dibantu – Zulkifli
Next post Op khas motosikal: 31 individu termasuk tujuh remaja bawah umur ditahan
Ubah saiz-+=