Kongsi cinta kongsi raya

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

PAYA RUMPUT 16 November – Pasangan bertuah ini bukan sahaja berkongsi cinta, sebaliknya perkahwinan campur membuka ruang buat S Ganesan Pillay, 61 dan Goh Siew Yen @ Vanessa, 61, untuk bersama-sama merasai kemeriahan sambutan perayaan mengikut masyarakat masing-masing.

Ganesan berketurunan Chetti berkata, Siew Yen yang juga wanita peranakan Baba dan Nyonya, teruja setiap kali menjelang sambutan Deepavali, begitu juga dirinya apabila tiba saat Tahun Baharu Cina.

Bapa kepada tiga anak lelaki berusia 24 hingga 27 tahun ini berkata, perbezaan adat, budaya dan agama mengajar mereka untuk bertoleransi, sekali gus mengeratkan lagi tali perkahwinan diikat sejak 31 tahun lalu.

Menurutnya seperti pasangan lain setiap kali tiba musim perayaan tidak kira Deepavali atau Tahun Baharu Cina, mereka akan sibuk melakukan persiapan dengan menghias rumah, membeli baju baharu dan menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu.

“Kebiasaannya pada pagi Deepavali saya bersama isteri akan ke kuil bagi upacara sembahyang, kami berkumpul bersama anak-anak sebelum mengunjungi sanak-saudara atau rakan-rakan yang turut menyambut pesta cahaya ini.

“Pengalaman ketika Deepavali dan Tahun Baharu Cina setiap tahun adalah satu bentuk perkongsian memori yang amat menyeronokkan bagi kami anak-beranak serta kedua-dua belah keluarga.

“Berkahwin dengan wanita pilihan hati memberi ruang kepada saya untuk belajar mengenai budaya baharu. Sampai sekarang kami masih amalkan budaya dan adat masyarakat masing-masing, semua ini menjadikan rumah tangga kami lebih harmoni,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Krubong Heights, baru-baru ini.

Photo1699526802
GAMBAR majlis perkahwinan, S. Ganesan Pillay, 61 yang berketurunan Chetti bersama isteri, Goh Siew Yen @ Vanessa,61 yang berketurunan Baba dan Nyonya. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pesara Jabatan Penjara Malaysia ini berkata, sebelum berkahwin pada 1993 mereka bercinta selama 10 tahun, berikutan itu dia tidak terlalu kekok apabila menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina sebelah keluarga mentua.

“Saya adalah keturunan ketujuh masyarakat Chetti di Melaka, pergaulan dan pengalaman ahli keluarga sebelum ini berkahwin campur banyak membantu saya,” katanya.

Sementara itu Siew Yen berkata, kakak ipar banyak mengajarnya untuk memahami adat dan budaya Chetti seperti masakan serta pendedahan mengenai agama Hindu.

Siew Yen berkata, lebih menarik selain mengenali budaya mereka dapat meraikan dua perayaan dalam setahun dan sudah tahu pantang larang serta kepercayaan antara dua masyarakat itu.

“Kunci kepada kekuatan ini adalah sifat saling hormat-menghormati, bersikap terus terang jika ada apa-apa yang berlaku malah dan saling bantu membantu dalam kalangan adik-beradik menjadi penguat kepada hubungan yang telah dijalin lama ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post Bukit jadi saksi keagungan Melaka
Next post Invest Melaka tawar peluang genggam diploma
Ubah saiz-+=