Invest Melaka tawar peluang genggam diploma

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 16 November – Kakitangan pelbagai sektor industri di Negeri Melaka berminat mendapatkan pengiktirafan dan meningkatkan tahap akademik masing-masing dipelawa untuk mengikuti kursus peringkat Diploma Profesional.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, peluang itu ditawarkan Invest Melaka menerusi kerjasama Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC).

Fairul Nizam berkata, bagi kursus berkenaan KLIEC menyediakan tajaan biasiswa yang keseluruhan berjumlah RM4.7 juta.

“Ada kira-kira 400 pemain industri dalam pelbagai sektor di Negeri Melaka, jadi saya mempelawa mereka ini untuk rebut peluang yang ditawarkan, jika ada sebarang pertanyaan lanjut pihak berminat boleh terus ke pejabat Invest Melaka.

“Lebih menarik KLIEC boleh menyesuaikan kursus atau bidang akademik peringkat diploma ini mengikut kemahuan syarikat dan industri.

“Penajaan biasiswa pula adalah dalam bentuk yuran tuisyen kepada mana-mana sektor industri yang ingin menghantar pekerja mereka bagi mengikuti kursus Diploma profesional dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Seminar Accreditation Development For Hrdcorp Member Companies’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat KLIEC, Datuk Rosnah Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif KLIEC Azreen Alias.

Mengulas lanjut, Fairul berkata pelbagai kursus akademik lain juga akan dijalankan KLIEC bersama Invest Melaka termasuk Program Arba’a.

“Program Arba’a ini bakal memberi peluang kepada pelajar tahfiz di Melaka yang berjaya menghafaz 15 juzuk al-Quran melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekurang-kurangnya memegang Diploma Pengurusan Halal.

“Namun perkara ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diketengahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1199
Kongsi :
Previous post Kongsi cinta kongsi raya
Next post 50,000 kampit BPS lulus esok
Ubah saiz-+=