Koperasi boleh bantu kurangkan kenaikan harga barang – PM

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

BERA, 12 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata koperasi di seluruh negara boleh membantu menangani masalah kenaikan harga barang bagi mengurangkan tekanan dan beban kewangan rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pemborong koperasi khusus untuk membekalkan barangan secara pukal pada harga murah kepada seluruh koperasi dan kaedah itu akhirnya turut dapat dinikmati oleh rakyat.

“Koperasi boleh memainkan peranan untuk mengurangkan tekanan kepada rakyat…koperasi ada banyak namun kebanyakannya membeli barang dari kedai pemborong dalam kuantiti kecil seperti beras atau gula sekitar 100 atau 200 kampit sahaja sebulan.

“Kalau boleh diwujudkan pemborong khas koperasi, mereka (koperasi) boleh beli secara pukal dan murah. Kalau dijual murah, sudah tentu lebih ramai akan memilih membeli dari koperasi dan ini membantu pendapatan koperasi,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Kampung Batu Papan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata cadangan menubuhkan pemborong khas koperasi itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan pihak terlibat termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata setakat ini, difahamkan terdapat 1,500 koperasi di seluruh negara yang dapat memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah, dan ia antara ‘sumbangan’ koperasi untuk bersama-sama kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang.

Kerajaan, tegas Ismail Sabri telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha termasuk Program Jualan Keluarga Malaysia di semua 222 kawasan Parlimen bagi menyediakan barangan keperluan asas pada harga murah, selain pemberian subsidi kepada pekebun dan penternak untuk memastikan harga barangan segar dapat dikawal walaupun berlaku kenaikan harga baja, racun dan makanan ternakan haiwan termasuk ayam.

Selain itu, untuk menstabilkan harga ayam yang meningkat secara mendadak, Ismail Sabri berkata kerajaan mengambil langkah mengimport ayam dari China dan Thailand, namun kesal apabila ada pihak yang membuat ‘cerita tidak betul tanpa usul periksa’ mengenai status halal ayam tersebut.

Tegas perdana menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam pemberian status halal, dan ayam diimport itu telah mendapat kelulusan badan agama tersebut dan ia tidak perlu diragui.

“Sebelum kelulusan halal diberikan, Jakim akan pergi ke tempat itu untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu. Selepas dipastikan halal, barulah cop (logo) halal dikeluarkan…halal ini bukan hanya dari sudut sembelihan, namun banyak aspek lain dinilai termasuk kebersihan.

“Untuk proses halal, ia turut melibatkan aspek pengangkutan iaitu tidak boleh bercampur dengan barang yang tidak halal…sampai ke tahap itu kita pastikan halalnya kerana ini bukan isu yang boleh dibuat main,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismail Sabri berkata beliau pernah mencadangkan supaya import daging dari sebuah negara Islam bagi membantu negara yang dikategorikan sebagai miskin itu, namun cadangan itu akhirnya dibatalkan selepas semakan Jakim mendapati aspek kebersihan tidak dipatuhi walaupun sembelihan ternakan menepati rukun dan syarat dalam Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak bimbang dengan status halal ayam yang dimport kerana produk berkenaan sudah disemak dan diteliti termasuk oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang mengesahkan semua loji memproses ayam terlibat masih sah dan diiktiraf Jakim. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post Keberkesanan vaksin Sputnik V terhadap Omicron diketahui dalam tempoh 10 hari
Next post 18 pegawai rendah polis Johor dibuang kerja
Ubah saiz-+=