Sorting by

×

Koperasi keluarga bantu 90 asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

ASAHAN 10 Februari – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) membantu 90 asnaf di negeri ini berdikari dan menjana pendapatan sendiri menerusi Projek Khas Bantuan Asnaf Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, inisiatif itu adalah menerusi pemilikan saham koperasi kepada Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad.

Katanya bantuan itu turut merangkumi pembangunan projek tanaman cili dan penternakan ayam kampung dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 43,000.

“Sumbangan ini dapat meningkatkan pemilikan saham Bumiputera dan meningkatkan lagi modal semasa koperasi bagi membesarkan perniagaan. Usaha ini diambil bagi membantu golongan asnaf dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka melalui platform koperasi.

“Golongan asnaf mungkin kurang modal jika hendak berniaga secara sendirian, namun melalui konsep kerjasama dalam koperasi, tenaga dan idea mereka dapat digembling bagi memajukan aktiviti yang dilakukan koperasi yang mana manfaatnya dipulangkan kepada mereka semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kepada Koperasi Keluarga Hj Sharief Melaka Berhad di Kampung Gubah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Abdul Fattah berharap lebih banyak koperasi menunaikan kewajipan berzakat melalui ANGKASA.

“Pada tahun 2022, sebanyak 655 buah koperasi membayar zakat dan pada tahun ini disasarkan sebanyak 1,750 koperasi membayar zakat melalui ANGKASA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1836
Kongsi :
Previous post Malaysia berpeluang juarai BAMTC – Aaron
Next post Anggota komando lemas, tiada pelanggaran SOP latihan
Ubah saiz-+=