KPM akan keluar surat pemakluman saringan COVID-19 babitkan murid

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan surat pemakluman berhubung pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM turut menyarankan supaya ketetapan itu juga terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah kementerian berkenaan.

“KPM menyambut baik saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran selaras dengan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan (NTS) yang ditetapkan oleh KKM.

“KPM telah membekalkan Kit Ujian Kendiri COVID-19 ke sekolah rendah KPM bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan sepertimana tatacara pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula Isnin ini (29 Nov).

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada NTS selain bertujuan mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.

Khairy berkata ujian saringan berkenaan perlu dilaksanakan kepada murid tanpa mengira sama ada mereka bergejala atau tidak. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1476
Kongsi :
Previous post RM1.05j bangunkan i-Breath COVID-19 – Adham
Next post Polis kenal pasti pemilik akaun media sosial sebar gambar berunsur fitnah
Ubah saiz-+=