
KPM KAMPUS BANDAR, IKM JASIN ANJUR PROGRAM MEMBUDAYAKAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
AYER KEROH 24 Oktober – Selain kecemerlangan akademik, aspek kesihatan mental, fizikal dan sosial turut diberikan keutamaan oleh Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Melaka dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin.
Sehubungan itu kedua-dua institusi berkenaan bekerjasama dalam menjayakan penganjuran Program Khidmat Masyarakat Sejahtera Cemerlang: Sihat Jiwa, Hebat Komuniti berlangsung di Dewan Kampus KPM Bandar Melaka, di sini, semalam.
KPM Bandar Melaka menerusi satu kenyataan memaklumkan, program itu dijayakan hasil kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KPM Bandar Melaka dan MPP IKM Jasin.
“Melalui penganjuran program ini, KPM Bandar Melaka dan IKM Jasin berharap semangat kerjasama antara institusi pendidikan MARA terus diperkukuh.
“Selain itu, program seumpama ini adalah platform mendidik masyarakat tentang pentingnya keseimbangan antara minda, jasmani dan emosi ke arah komuniti yang lebih sejahtera dan cemerlang,” kata kenyataan itu.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pembangunan MARA Negeri Melaka, Shahrulazli Jaafar @ Ismail dan hadir sama Pengarah KPM Bandar Melaka, Md Zan Md Yausuf, wakil Pengarah IKM Jasin Razimah Mohamad barisan pengurusan serta pensyarah kedua-dua institusi.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah ceramah kesihatan mental bertajuk ‘Ketenangan dan Keceriaan dalam Kehidupan’ disampaikan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
Turut berlangsung aktiviti senamrobik, pameran dan dan reruai kesihatan menawarkan pemeriksaan kesihatan, pengurusan stres serta kempen derma darah.
Bagi menggalakkan lagi budaya hidup sihat dan menyemarakkan semangat kesukanan turut berlangsung klinik ping pong sebagai aktiviti penutup aktiviti penutup.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


