KPNDHEP akan ‘tanya khabar’ restoran viral
AYER KEROH 10 Jun – Meskipun tiada laporan diterima, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka akan melakukan pemeriksaan di premis makanan di Bandar Hilir, di sini, yang didakwa mengenakan caj makan tengah hari yang agak keterlaluan.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai insiden itu dan tidak akan berkompromi sekiranya ada di antara pengusaha atau peniaga yang cuba mengambil kesempatan ke atas pelanggan dengan mengaut keuntungan berlebihan.
“Pihak kami tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai isu itu tetapi pasukan penguat kuasa akan turun padang bagi menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung hal berkenaan.
“Selain premis terbabit, pasukan penguatkuasa juga akan menjalankan pemeriksaan di sekitar Banda Hilir untuk melihat senarai harga jualan bagi makanan yang dijual,” katanya.
Norena berkata demikian ketika dihubungi Melaka Hari Ini susulan tular di media sosial oleh seorang wanita mendakwa dikenakan caj makan tengah hari RM240 ketika bersama keluarga termasuk saudara dari Singapura menjamu selera disebuah restoran di Banda Hilir.
“Aku rasa bebel radio buruk mak cik itu kot sekali cas sampai RM240 tu. Kalau betul dia kira…halalkan. Kalau main tikam, dunia akhirat aku tak halalkan. Pandai-pandailah jawab kat sana nanti,” dakwa wanita itu.
Wanita itu juga turut menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mendakwa peniaga kedai itu yang juga warga emas memberi layanan buruk apabila bersikap biadap selain tidak berhenti membebel sepanjang dia dan keluarga menikmati hidangan.
Sementara itu, Norena turut memberi amaran kepada peniaga dan pengusaha untuk tidak cuba mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan keatas pelanggan apabila mengenakan harga keterlaluan.
“Kita ingatkan dan beri amaran terutama peniaga di kawasan tumpuan ramai agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya semasa musim cuti sekolah ini.
“Malah peniaga juga harus bijak dalam membuat pilihan dengan memilih premis yang dikunjungi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.