Peniaga kena jaga emosi, perasaan pelanggan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PEKANBARU 10 Jun – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meminta peniaga-peniaga di negeri ini khususnya di kawasan pelancongan agar menjaga budi bahasa dan adab ketika menerima kehadiran pelanggan.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu tular seorang peniaga restoran yang didakwa mengherdik dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pelanggan di Banda Hilir, baru-baru ini.

“Mungkin ada orang Melaka ini bahasanya ‘kasau’ (kasar) sedikit, tetapi bukan semua begitu. Kita sepatutnya alu-alukan pelancong datang ke negeri ini kerana mereka datang bawa rezeki.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi difahamkan sudah banyak kali dilaporkan isu sama terjadi pada kedai yang dimaksudkan. Jadi saya harap jagalah budi bahasa kita.

“Peniaga kena jaga perasaan dan emosi walaupun dalam keadaan penat, kita kena jaga mereka yang datang kerana orang berniaga sentiasa akan mengharapkan pelancong datang ke kawasan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri mesyuarat bersama Pelabuhan Indonesia (PELINDO) di Hotel Pangeran, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sebagai negeri pelancongan, beliau tidak mahu perkara sama berulang lagi yang mana ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada negeri ini secara keseluruhan.

Semalam, hangat diperkatakan di media sosial mengenai keluhan seorang pengunjung yang berdepan sikap biadap seorang peniaga restoran terkenal di Banda Hilir.

Pengadu mendakwa dilemparkan kata-kata kurang enak selain turut mengeluarkan kata-kata seakan menghina kepada pelanggan berkenaan yang membawa keluarga dari Singapura.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post Tempoh reman pemandu Perodua Myvi disambung lagi
Next post KPNDHEP akan ‘tanya khabar’ restoran viral
Ubah saiz-+=