Sorting by

×

Indonesia mahu ‘berguru’ dengan Melaka bangunkan Sungai Siak

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PEKANBARU 10 Jun – Indonesia mahu belajar dengan Melaka dalam membangunkan Sungai Siak Bandaraya Melayu di Pelabuhan Pekanbaru Pasar Bawah, Kota Pekanbaru.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu antara dibincangkan bersama Pelabuhan Indonesia (PELINDO) dalam mesyuarat yang diadakan di Hotel Pangeran, di sini, hari ini.

Katanya, dalam perbincangan itu, pemerintah Pekanbaru ingin bekerjasama dengan Melaka untuk pembangunan sungai berkenaan agar ia mampu menjadi setanding Sungai Melaka yang kini menjadi antara destinasi pelancongan terkenal.

Di pihak kerajaan negeri, katanya, Melaka sedia berkolaborasi untuk membangunkan sungai berkenaan memandangkan Sungai Siak dan Sungai Melaka mempunyai hubung kait suatu ketika dahulu.

“Jadi dalam mesyuarat ini kita turut sama terlibat berkongsi pengalaman bagaimana Sungai Melaka dibangunkan suatu ketika dahulu dan menjadi pusat tarikan pelancongan yang hebat ketika ini.

“Pihak pemerintah Pekanbaru bersetuju untuk adakan kolaborasi dan kerjasama bersama kerajaan Melaka dalam membangunkan Sungai Siak seperti mana Sungai Melaka.

“Jadi di pihak kerajaan negeri kita mengalu-alukan mana-mana pelabur untuk bersama kerajaan negeri dan pemerintah di sana untuk membangunkan Sungai Siak dalam menarik kehadiran pelancong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu Direktur PELINDO Prasetyo berkata, ikatan sejarah dan hubungan baik di antara Melaka dan Riau menjadi antara penyumbang kepada kerjasama membangunkan Sungai Siak yang dijadual beroperasi pada Ogos 2023.

Katanya, selain memperkenalkan perkhidmatan ‘cruise’ seperti Sungai Melaka, Sungai Siak juga akan menjadi lokasi pelancongan untuk mengenal sejarah dan budaya Melayu.

“Jadi, kita bergabung (bekerjasama) dengan Melaka kerana negeri itu mempunyai pengalaman mengendalikan Sungai Melaka selain ikatan sejarah yang kuat di antara kedua-duanya.

“Kita juga mahu beri pemahaman kepada generasi muda tentang sejarah memandangkan bangsa Melayu mempunyai sejarah yang besar di Sungai Siak dan Sultan Melaka juga ada dimakamkan di Riau.

“Kita harap apabila Sungai Siak beroperasi sepenuhnya nanti ia dapat menarik pelancong khususnya dari Melaka ke Pekanbaru dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1060
Kongsi :
Previous post KPNDHEP akan ‘tanya khabar’ restoran viral
Next post Melaka jadi rebutan di Indonesia
Ubah saiz-+=