Melaka jadi rebutan di Indonesia

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PEKANBARU 10 Jun – Melaka terbukti menjadi pilihan pelabur Indonesia apabila kerajaan negeri menerima pelawaan daripada beberapa pemerintah bagi penganjuran misi pelaburan di wilayah pentadbiran mereka.

EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau menerima panggilan daripada pemerintah daerah atau provinsi yang menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Melaka bagi meneroka lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama baharu.

Katanya, maklum balas amat positif itu membuktikan Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka Ke Dumai dan Pekanbaru diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai amat berjaya.

“Ramai yang bertanya mengapa Melaka pilih Provinsi Riau dan bukan wilayah pentadbiran mereka, seperti satu permintaan untuk kita ke sana.

“Mereka berminat terhadap tiga perkara iaitu pelancongan kesihatan, pelancongan keluarga dan juga pelancongan agama, iaitu melaka sebagai negeri transit bagi jemaah umrah dari Indonesia ke Arab Saudi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka Ke Dumai & Pekanbaru, Indonesia, hari ini.

Muhammad Jailani berkata, difahamkan setakat ini sekitar 40 agensi pelancongan menyatakan minat untuk mengadakan kerjasama dengan Melaka.

Malah katanya hasil hubungan dua hala yang semakin akrab itu delegasi Melaka menerima jemputan untuk menghadiri sabutan perayaan ulang tahun Pekanbaru ke-238 pada 23 Jun ini.

“Pihak pengurusan pelabuhan Indonesia atau PELINDO ketika perjumpaan bersama Ketua Menteri menawarkan kepada Melaka untuk membangunkan tanah seluas sekitar lima hektar milik mereka.

“Bagi saya ini satu peluang keemasan kerana pelabuhan Indonesia adalah yang terbesar di rantau ASEAN ini. Pelabur atau pihak mempunyai kemampuan perlu memanfaatkan perkara ini bukan saja dalam sektor pelancongan sebaliknya perladangan membabitkan komoditi kelapa sawit,” katanya.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, seramai 600,000 atau 10 peratus daripada penduduk Riau disasarkan akan memasuki Melaka menggunakan laluan laut tahun ini.

“Mengikut statistik rasmi Provinsi Riau ada 6.5 juta penduduk, tidak rasmi pula 9 juta dan untuk mencapai sasaran 10 peratus itu kita perlu bekerja keras kerana cuma ada baki 6 bulan sahaja lagi.

“Pada 2019 hasil kempen Tahun Melawat Melaka, 130,000 penduduk Riau memasuki Melaka, ini adalan antara rekod tertinggi dicatatkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1305
Kongsi :
Previous post Indonesia mahu ‘berguru’ dengan Melaka bangunkan Sungai Siak
Next post Malaysia lawan Bahrain: Perkhidmatan LRT laluan Ampang/ Sri Petaling dilanjut
Ubah saiz-+=