KPT pandang serius isu sugar baby

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PUTRAJAYA 14 Feb. – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah
menghubungi beberapa universiti, yang pelajarnya didakwa
terbabit dengan perkhidmatan ‘sugar baby’, bagi mendapatkan
maklumat mengenai kesahihan data yang disiarkan dalam beberapa
media.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar
berkata, pihaknya memandang serius pendedahan yang dibuat oleh
akhbar ‘The Star Online’ mengenai laman sesawang ‘student
programme’ dan laporan dalam Facebook mengenai peningkatan
mendadak bilangan pelajar universiti yang terbabit dalam
perkhidmatan sugar baby.

“Dalam hal ini, pihak pengurusan universiti menjelaskan
terdapat banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan dalam
laporan itu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari
ini.

Beliau berkata Sunway Education Group menyatakan agak mustahil
45 peratus daripada pelajar Sunway University dikatakan
terbabit dalam aktiviti sugar baby kerana jumlah pelajar
Sunway University pada masa kini adalah kira-kira 7,000
pelajar sahaja.

“Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai
3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah
tidak munasabah.

“Rabu lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga telah
membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak
media,” katanya.

Husaini berkata walau bagaimanapun pihak KPT bersama-sama
dengan pihak universiti akan menangani isu ini dengan lebih
berkesan.

Beliau berkata pihak universiti akan menjalankan semakan
dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan
oleh pihak media dapat ditangani sebaik-baiknya.

Beliau berkata KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus
dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
berkaitan bagi merangka satu program berterusan dan menyeluruh
dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej IPT di Malaysia
terjaga.

Views:

909
Kongsi :
Previous post PN terima GERAKAN jaga kepentingan pelbagai agama dan bangsa
Next post Ahli perniagaan maut, motosikal berkuasa tinggi rempuh kereta
Ubah saiz-+=