Ahli perniagaan maut, motosikal berkuasa tinggi rempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER MOLEK 14 Feb. – Seorang ahli perniagaan lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya merempuh sebuah kereta di Jalan Tun Kudu, berhampiran sebuah stesen minyak, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, Norain Jazman, 44, beralamat di Kampung Paya Redan, Tiang Dua, yang menunggang motosikal jenis BMW S1000RR maut di lokasi kejadian.

MANGSA…Norain Jazman maut di tempat kejadian. Foto ihsan PDRM

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa secara tiba-tiba merempuh bahagian belakang kiri kereta PERODUA Axia yang dipandu oleh pelajar perempuan berusia 21 tahun.

Katanya, pelajar perempuan terbabit dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Sungai Rambai dan mangsa juga dari arah sama.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Pelajar perempuan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Tun Kudu, Ayer Molek. Foto ihsan PDRM

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan merupakan jalan dua lorong dua hala dan cuaca ketika kejadian dalam keadaan baik.

“Kedua-dua kenderaan itu dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Views:

961
Kongsi :
Previous post KPT pandang serius isu sugar baby
Next post Tiga kluster baharu punca kadar kebolehjangkitan tinggi di Melaka
Ubah saiz-+=