Tiga kluster baharu punca kadar kebolehjangkitan tinggi di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 14 Feb – Tiga kluster baharu antara penyumbang Melaka mencatat kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian tertinggi negara iaitu pada 1.07, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan kadar Rt itu berlaku sepanjang minggu dengan 80 peratus kes yang dilaporkan daripada 16 kluster aktif di negeri ini.

Katanya, peningkatan kes itu majoritinya daripada Kluster Industri Serkam dan Kluster Tembok Sungai Udang.

“Melaka pernah mencatatkan Rt tertinggi pada 24 Januari iaitu 1.36 dan terendah pada 3 Februari (0.96), sebelum diumum sebagai negeri jangkitan tertinggi pada 12 Februari lalu.

“Melaka kekal di atas berbanding negeri lain berikutan peningkatan kes Kluster Industri Serkam yang merekodkan lebih 1,400 kes dan berjangkit kepada empat generasi dalam tempoh lima hari lalu.

“Berlaku juga (pertambahan) tiga kluster iaitu Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru dan Kluster Teknologi Batu Berendam.

“Bagaimanapun, kes ketiga-tiga kluster itu berada dalam tahap masih terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulat lanjut, Rahmad berkata, bagaimanapun setakat hari ini jumlah kes aktif bagi Kluster Industri Serkam berbaki kurang 200 kes.

“Berdasarkan perbandingan antara dua negeri, Melaka setakat semalam merekodkan 50 kes baharu, ini bermakna apabila kes itu didarabkan dengan 1.07 Rt, kadar Rt itu akan menjangkiti lagi 53.5 kes baru hari ini, yang mana menunjukkan kadar lebih rendah daripada Rt Selangor.

“Selangor semalam merekodkan 1,345 kes yang apabila didarabkan dengan kadar 0.89, negeri itu dijangka menerima kira-kira 1,197 kes baharu hari ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kadar Rt pandemik itu mengikut kes harian bagi seluruh negara berada pada nilai 0.92 setakat semalam dengan Melaka mencatatkan Rt tertinggi iaitu pada 1.07.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi infografik yang dikongsikan di akaun Twitter beliau menunjukkan Pulau Pinang merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.06 diikuti Kedah (1.04) dan Johor (1.01).

Views:

446
Kongsi :
Previous post Ahli perniagaan maut, motosikal berkuasa tinggi rempuh kereta
Next post Pengusaha hotel rebut peluang tarik pengunjung, tawar makan malam Hari Kekasih
Ubah saiz-+=