
KUDAPAN, KUIH ‘BELAKANG DAPUR’ KEKAL LARIS DI ZAMAN DIGITAL
DUYONG 23 Julai – Perusahaan kuih tradisional ‘belakang dapur’ dalam kalangan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang masih mengekalkan pembuatan ‘cara lama’ terus mendapat sambutan ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, meskipun diusahakan secara kecil-kecilan, namun produk yang dihasilkan itu mampu bertahan lama sehingga ada yang kini diteruskan oleh generasi ketiga.
Katanya, di DUN Duyong ramai pengusaha yang masih menghasilkan makanan tradisional seperti kuih bakar, kuih cakar ayam dan kuih cang yang setiap satunya mempunyai penggemar tersendiri.
“Sebenarnya banyak kuih dan kudapan tradisional ini masih diusahakan secara tradisi, perusahaan belakang dapur ini ia tidak besar tetapi kekal bertahun-tahun dari generasi ke generasi.
“Situasinya seperti tidak pergi tinggi tetapi tidak tenggelam kerana mereka mahu kekalkan cara pembuatan secara tradisi.
“Seperti kuih cakar ayam yang diusahakan di Perigi Hang Tuah ia menjadi antara produk tumpuan dalam kalangan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih Usahawan Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong, semalam.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya Tuminah Kadi @Mohd Hashim.
Mohd Noor Helmy yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, selain Perkampungan Hang Tuah, kuih tradisional dan pembuatan kraftangan yang ada di kawasan Perigi Hang Tuah akan terus menjadi tarikan dalam kalangan pelancong.
“Produk yang dihasilkan dan sudah bertapak di Perigi Hang Tuah ini kita mahu gabungkan dalam pakej Perkampungan Hang Tuah.
“Biarkan pengusaha itu kekal bertapak kerana apabila pelancong datang ke Perigi Hang Tuah mereka singgah ke kawasan sekitar termasuk Perkampungan Hang Tuah. Secara tidak langsung kita hendak mengetengahkan identiti-identiti produk tempatan yang ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.