‘Lagi meriah raya dalam PKRC’

0
983
SITI Zulaikha (kiri) bersama 'rakan baharu' di PKRC MITC ketika menyambut Aidiladha secara sederhana di pusat tersebut, awal pagi tadi. Foto Ihsan Siti Zulaikha

AYER KEROH 20 Julai –  “Walaupun tak dapat raya bersama keluarga, namun saya seronok dapat berkenalan dengan kawan baru di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC”.

Itu luahan seorang pesakit COVID-19, Siti Zulaikha Hashim, 28 yang bangun seawal jam 5.30 pagi untuk bersiap menyambut Hari Raya Aidiladha di PKRC tersebut.

SITI Zulaikha. Foto Ihsan pesakit di PKRC MITC

“Saya ada kawan-kawan sama tempat kerja dini, jadi tak lah rasa bosan sangat. Ditambah pula dapat kenal ramai kawan baru jadi rasa seronok juga.

“Pagi tadi jam 5.30 pagi saya dah bangun siap-siap pakai baju kurung, lepas tu ada takbir raya dan khutbah ramai-ramai,” katanya ketika dihubungi MHI.

Katanya walaupun sedih tidak dapat beraya bersama suami dan keluarga, namun dia tetap merasai suasana hari raya di PKRC tersebut.

“Perasaan sedih tu ada, tapi ada kawan dekat sini so okaylah, suami pun pagi-pagi dah buat panggilan video ucap hari raya.

“Saya memang dah bawa baju raya siap-siap sebab tahu akan raya di sini, nurse pun bagi kelonggaran pada kami di sini untuk rasai hari raya.

“Kami pun disediakan kuih raya, nasi impit, kuah kacang dan rendang untuk makan ramai-ramai,” katanya yang berkahwin pada tahun 2019.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.