Laksana laluan kontra atasi kesesakan trafik di Banda Hilir

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 November – Laluan kontra menghubungkan Little India ke Banda Kaba akan dilaksanakan bagi membantu penyuraian trafik sepanjang tempoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan pada Sabtu setiap minggu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, laluan kontra dicadangkan itu membabitkan Jalan Banda Kaba-Jalan Chan Koon Cheng menghala ke arah persimpangan berdekatan Hotel Equatorial.

“Pada asalnya laluan ini adalah sehala dari persimpangan berdekatan Hotel Equatorial menuju ke Banda Kaba. Tetapi selepas pelaksanaan laluan kontra ia akan berpatah balik, iaitu bermula dari Jalan Banda Kaba menghala ke persimpangan berdekatan Hotel Equatorial.

“Jadi apabila ada pengunjung atau pelancong yang datang dari Jalan Bendahara, Little India, mereka boleh membelok ke kiri di persimpangan Jalan Banda Kaba supaya laluan ini dapat diakses terus ke Banda Hilir.

“Cadangan ini masih diperingkat kajian membabitkan semua agensi dan jabatan terbabit, kita akan laksanakan percubaan dalam masa terdekat ini sebelum menjelang sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Photo 2023 11 20 12 46 33
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berucap pada sidang media sempena Majlis Perasmian dan Persidangan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Sidang 1, Penggal Ke-34, Sesi 2023-2024 di sebuah hotel di Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang 1 Penggal Ke-34 Sesi 2023-2024 di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Khairul Adri Rosli.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, laluan kontra merupakan insiatif Kerajaan Negeri bagi menambah baik pengurusan trafik di lokasi utama pelancongan dengan matlamat mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak dan hujung minggu.

“Melaka terkenal sebagai negeri pelancongan menjadi pilihan ramai pelawat, jadi dalam usaha menguruskan jalan yang sibuk ini kita perlu mengkaji aliran trafik yang perlu ditambah baik supaya masalah kesesakan di tengah bandar ini dapat diselesaikan.

“Pelaksanaan inisiatif juga diharap membantu peniaga-peniaga kecil dan pengusaha hotel sekitar, agar mereka tidak lagi dibelenggu dilema selepas penutupan jalan dilaksanakan yang menyebakan kurangnya kedatangan pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post Akaun KWSP ketiga untuk kecemasan dilaksana April 2024 – Ahmad Maslan
Next post Kemahiran digital belia perlu seiring ilmu kerohanian, jasmani
Ubah saiz-+=