Langgar Akta 446, dua syarikat didenda keseluruhan RM32,000

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 7 April – Dua syarikat masing-masing didenda RM25,000 dan RM7,000 selepas mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan keseluruhannya atas kesalahan melanggar Akta Standard-standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, syarikat kontraktor minyak dan gas di Sungai Udang didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.

Kata kenyataan itu, syarikat berkenaan didakwa satu pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 24D (3) Akta 446 dan Seksyen 24H (2) akta sama iaitu tiada perakuan penginapan pekerja dan kesalahan tidak mendapat kelulusan ubahsuai bangunan dari Majlis Bandaraya
Melaka Bersejarah.

“Syarikat berkenaan turut didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Peraturan 4(2) Peraturan-peraturan Standard-standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020, iaitu kesalahan tidak menyediakan kemudahan asas, almari berkunci.

“Atas semua pertuduhan itu, Hakim Nariman Badruddin mengarahkan syarikat terbabit membayar denda RM5,000 atau lima bulan penjara bagi setiap pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah RM25,000,” kata kenyataan itu.

Satu lagi syarikat pengangkutan di Cheng dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 24D (3) Akta 446 iaitu tiada perakuan penginapan pekerja.

“Atas kesalahan itu, Hakim Nariman Badruddin mengarahkan syarikat berkenaan membayar denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara,” katanya.

Kes pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JTK negeri, Norah Ramli dan Farah Wahida Mat Jirin manakala siasatan kes dijalankan oleh Pegawai Penyiasat, Ahmad Jazim Samsudin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post Kalau sudah minat, usia bukan penghalang
Next post Mahrajan Kesenian Islam lahir generasi mukmin profesional
Ubah saiz-+=