Lantikan Mohd Ali sebagai Canselor selari dengan pengalamannya- Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

KUALA SUNGAI BARU 30 April. – Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) adalah sangat tepat jika dilihat pada latar pendidikannya yang amat mementingkan nilai pendidikan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali

Menurutnya, beliau percaya kebijaksanaan Tun Mohd Ali mampu membawa KUIM menjadi sebuah kolej universiti tersohor bagi menghasilkan graduan berkualiti membabitkan aspek governan, akademik dan penyelidikan.

“Saya yakin beliau sentiasa cakna dan sedia maklum dengan sejarah dan kemajuan KUIM sejak awal penubuhannya memandangkan beliau pernah memegang tampuk pimpinan sebagai Canselor KUIM sebelum ini dan ini membuktikan hubungan beliau dengan KUIM bukan satu yang asing lagi.

“Kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Tun saya optimis dengan pemasyhuran ini membawa makna besar kepada KUIM dan kerajaan negeri dan yakin ia akan terus berkembang mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

 

TUN Mohd Ali membaca watikah pelantikannya sebagai Canselor KUIM.

Beliau berkata demikian pada ucapannya di Istiadat Pemasyhuran Canselor KUIM diadakan di Dewan Auditorium Ibnu Khaldun, KUIM di sini, hari ini.

Selaras dengan lantikan itu, Sulaiman berkata, KUIM diyakini mampu muncul sebagai universiti yang mengutamakan kecemerlangan pendidikan serta menyerlahkan keunggulan dan keunikan tersendiri dengan penerapan Islam sebagai elemen utama menerusi falsafah, misi dan visinya.

“Ia juga sejajar dengan Flagship ketujuh dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 iaitu hasrat menjadikan Melaka Sebagai Hub Pendidikan yang tersohor akan tercapai di bawah naungan beliau,” katanya lagi.

Istiadat pemasyhuran itu dimulakan dengan perarakan masuk tetamu kehormat yang dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, EXCO di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIM, Datuk Noor Effandi Ahmad, Naib Canselor KUIM Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora serta tetamu lain.

Acara utama itu kemudiannya disusuli dengan ketibaan masuk Mohd Ali diiringi isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman dan pegawai pengiring yang lain ke pentas utama istiadat.

Untuk rekod Tun Mohd Ali terbabit dengan KUIM sejak 1994 hingga 2013 hingga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah KUIM yang awalnya dikenali sebagai Kolej Islam Melaka (KIM).

Transformasi pendidikan tinggi hasil kerjasamanya menyaksikan institusi itu dinamakan Kolej Teknologi Islam Melaka (KTIM) pada 2001 dan terus dinaik taraf sebagai Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka pada 2005 dan seterusnya bergelar Kolej Universiti Islam Melaka pada 2009.

Di atas sumbangan beliau yang komited dalam transformasi sistem pendidikan tinggi di negeri ini, Tun Mohd Ali juga dianugerahkan Ijazah Profesor Kehormat KUIM bagi menghargai pengorbanan dan sumbangan cemerlangnya dalam pelbagai bidang termasuk politik, sosial dan ekonomi sepanjang 13 tahun memimpin Melaka sebagai Ketua Menteri.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post PUSPANITA Melaka khatam al-Quran 15 malam terakhir Ramadan
Next post Lemang Norita laris
Ubah saiz-+=