Lapan ‘port sarapan paling umphh’ di Melaka

MELAKA bukan sahaja terkenal sebagai bandar bersejarah dan pusat pelancongan terkenal di negara ini, bahkan ia turut menjadi antara lokasi wajib dikunjungi bagi penggemar makanan.

Terdapat pelbagai tempat makan popular dan tular di negeri ini membuatkan pelancong dari luar Melaka sanggup meredah beratus-ratus kilometer semata-mata untuk menjamu selera.

Bagi entri Variasi minggu ini, Melaka Hari Ini membawakan antara 8 menu sarapan wajib cuba di negeri Melaka.

1. Mi Goreng Hassan Tengkera

MI ‘Bodo’ atau nama gerainya Mi Goreng Hassan Tengkera merupakan ‘port’ wajib yang begitu popular di kalangan penduduk Melaka. Gerai ini sudah diusahakan sejak berdekad yang lalu dan sehingga kini ia masih dipenuhi pelanggan dan kekal menjadi pilihan ramai.

Menunya cukup ringkas, mee goreng yang dipadankan dengan telur, timun dan sambal. Walaupun nampak ‘simple’, namun keunikan rasanya membuatkan ramai yang ketagih untuk ke sini.

2. Mi Kari Daging Selambak

BOSAN dengan mi goreng? Apa kata anda cuba pula Mi Kari Daging Selambak yang ada di Warung Asiah Aris. Warung ini terletak di Pasar Besar Transit Melaka, berhampiran Melaka Sentral.

Sesuai dengan namanya, mi kari yang ada di gerai ini dilengkapkan dengan timbunan daging yang pastinya mampu membuka selera anda. Dengan harga hanya RM8 semangkuk, sudah pasti menu ini wajib dicuba untuk sesiapa sahaja yang datang ke Negeri Melaka.

3. Roti Canai Kayu Arang

BUKAN mudah untuk mencari roti canai yang dimasak menggunakan dapur kayu arang. Tetapi ia ada di Melaka! Lokasinya terletak di Kampung Bakar Batu, Bachang atau betul-betul bersebelahan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala ke bandar.

Rotinya bukan sahaja lembut, tetapi juga garing dan dipadankan dengan kuah dal, kari dan sambal. Selain roti canai biasa terdapat juga roti canai nachos, roti canai pizza serta pelbagai makanan lain seperti soto, sate dan kuih muih.

4. Roti Canai Buritto

BOSAN dengan roti canai tradisional? Apa kata anda ke Barakah Corner di Kampung Lapan untuk mencuba menu roti canai buritto, satu resepi yang telah diangkat satu tahap yang lebih tinggi dengan menampilkan elemen ‘fusion’ ala masakan Barat.

Menariknya, roti canai buritto yang berintikan telur dadar dan ayam goreng berempah ini bukan sahaja sedap di makan secara semulajadi dengan kuah dal dan sambal, tetapi ia juga boleh ditambah ‘topping cheese’, mengikut citarasa anda.

5. Nasi Lemak Eso

WARUNG ini digelar nasi lemak Eso kerana lokasinya yang terletak betul-betul bersebelahan stesen minyak Esso (kini Petron) di Tanjung Kling. Warung ini sudah menjadi pilihan sejak berpuluh tahun yang lalu dan masih kekal hingga ke hari ini.

Menu yang ada di sini kelihatan seperti biasa-biasa sahaja. Namun, bagi sesiapa yang sudah mencuba nasi lemak dipadankan dengan ayam goreng panas yang ada di sini, pastinya akan kembali ke sini. Selain nasi lemak, gerai ini turut popular dengan mi kari, soto dan lontong.

6. Nasi Lemak Janda

PARA isteri jangan takut dengan nama gerai ini. Namanya hanya untuk tujuan komersial sahaja. Ada pelbagai variasi nama Nasi Lemak Janda yang dijual di sini, antaranya Nasi Lemak Janda Malim dan Nasi Lemak Janda Tanjung.

Bukan sahaja namanya yang unik, bahkan rasanya juga padu dan selalu menjadi pilihan penduduk sekitar. Bagi yang ingin merasai penangan Nasi Lemak Janda, bolehlah ke gerainya yang terletak di Jalan Suria 1, Taman Malim Jaya.

7. Kopi Pahlawan

INGIN merasai kopi yang ‘kawww’ dan sedap, apa kata anda singgah ke Warung Kopi Manggis Road yang terletak di Limbongan. Warung ini merupakan ‘port ngopi’ baharu yang kini semakin popular di kalangan rakyat Melaka dan juga pelancong luar.

Keenakan rasa kopinya yang dipadankan dengan masakan panas seperti nasi lemak, roti pahlawan dan roti temenggong pastinya akan membuka selera sesiapa sahaja yang datang ke sini.

8. Teh Madu Bard

BAGI peminat teh madu, gerai Teh Madu Bard adalah tempat yang wajib anda cuba! Teh madunya yang sedap dan dipenuhi buih sudah pasti membuatkan anda terigau-igau untuk ke sini sekali lagi.

Selain teh madu sebagai ‘specialty’, gerai ini turut popular dengan menu sarapan seperti mi kari, soto Larkin, nasi lemak cincang dan nasi cincang sambal padu. Lokasinya cukup mudah, iaitu terletak di Paya Rumput iaitu betul-betul di tepi Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) sebelum sampai ke Stadium Hang Jebat.

Views:

1147
Previous post MFL belum putuskan tarikh Liga-M bersambung
Next post PARLIAMENT: Azhar Harun is new Dewan Rakyat Speaker