MFL belum putuskan tarikh Liga-M bersambung

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TARIKH rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 disambung semula akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas menerima laporan penuh tahap kebersediaan daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam menyambung kembali saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lepas demi memastikan saingan lebih kompetitif dan berkualiti.

Katanya, MFL mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan yang mungkin dihadapi pemain sekiranya pasukan tidak memiliki waktu secukupnya untuk mempersiapkan pasukan ke tahap fizikal terbaik.

“Selain itu pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue yang bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses pembasmian kuman dan nyahcemar venue perlawanan.

“Semua pasukan turut digesa untuk menjalankan proses penyelengaraan dan baik pulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MFL sebelum ini merancang meneruskan kembali saingan Liga Super dan Liga Premier yang terjejas susulan pandemik COVID-19 masing-masing pada 1 dan 2 Sept berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 Okt sehingga 7 Nov.

Sementara saingan Piala FA dan Piala Cabaran, yang juga sebahagian daripada pertandingan dalam Liga-M 2020, dibatalkan.

MFL juga akan mempertimbang untuk memberi kebenaran bagi pasukan mengadakan siri perlawanan persahabatan sebelum kempen liga bersambung, namun tumpuan kini adalah kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam Fasa 2 latihan berpasukan.

Justeru, Ab Ghani mengingatkan setiap pasukan untuk terus mematuhi SOP ditetapkan sepanjang Fasa 2 latihan berpasukan yang bermula Rabu depan bagi memastikan kelancaran usaha menyambung semula saingan liga.

“MFL berharap serta memohon supaya semua pasukan mengekalkan disiplin serta komitmen yang tinggi dengan mematuhi garis panduan serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan pegawai dan pemain pasukan sepanjang tempoh Fasa 2 latihan berpasukan,” katanya.

Dalam pada itu, MFL berterima kasih kepada kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementeria Belia dan Sukan (KBS) atas bantuan serta sokongan terhadap usaha MFL merealisasikan impian setiap pasukan menjalani latihan berkontak. – BERNAMA

 

Views:

300
Kongsi :
Previous post RM499,060 rampasan tidak sampai tujuh bulan
Next post Lapan ‘port sarapan paling umphh’ di Melaka
Ubah saiz-+=