Laptop percuma bukan ‘janji kayangan’, tapi mampu direalisasikan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 13 November – Pemberian laptop percuma seperti yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Perancangan Amal dan Usaha (PADU) bukanlah hanya bersifat janji kayangan.

Sebaliknya, Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, janji itu merupakan sesuatu yang ‘doable’ atau mampu dilakukan sekiranya BN diberi mandat mentadbir negara.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, hal itu jelas terbukti, apabila pelbagai inisiatif pendidikan seperti PerantiSiswa telah diberikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob.

“Bukan hanya itu (pemberian laptop), malah pendidikan percuma untuk pendidikan awal kanak-kanak juga mampu kita lakukan.

“Begitu juga, pendidikan percuma kepada anak-anak dari keluarga B40. Jadi, tak perlu lagi cerita soal (hapus) PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara).

“Ini ikrar yang sebenarnya amat baik untuk rakyat Malaysia, terutamanya kepada warga Tangga Batu. Jadi, saya harap berilah mandat besar kepada BN untuk kita mentadbir negara dan menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Surau Al-Jannah, Taman 1 Krubong, di sini.

Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan inisiatif pemberian laptop percuma kepada pelajar dalam kalangan keluarga B40 sebagai antara manifesto ditawarkan BN.

Ketika kunjungannya ke Melaka, baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu akan turut diperluaskan kepada pelajar daripada keluarga M40 sebagai antara usaha memacu pendidikan berkualiti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1565
Kongsi :
Previous post Pokok rhu tumbang, ibu dan bayi cedera
Next post Sentuhan 14 pereka fesyen di SDG in Style
Ubah saiz-+=