Sorting by

×

LAUTAN CAHAYA, RIBUAN ANAK MUDA ‘MELAYAR JIWA’ DI AYER KEROH

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 28 Jun – Cahaya ribuan lampu telefon bimbit yang bergemerlapan memenuhi ruang Stadium Mini Bistari Ayer Keroh, malam tadi, mencipta suasana penuh magis sempena penganjuran Konsert Melayar Jiwa 1.0.

Dianggarkan lebih 2,000 pengunjung membanjiri malam tersebut ditemani dengan lagu-lagu ‘galau’ yang kini cukup dekat di hati anak muda sebagai medium meluahkan emosi dan mengubat jiwa.

Konsert berlangsung dalam suasana penuh emosi apabila pengunjung bukan sahaja menyanyikan setiap bait lagu bersama artis kegemaran mereka, malah turut menghidupkan suasana dengan nyalaan lampu telefon bimbit sepanjang persembahan.

Kemuncak acara pastinya tertumpu kepada kemunculan dua kumpulan muzik popular tanah air, Insomniacks dan Masdo, yang menghiburkan penonton menerusi rangkaian lagu hit mereka.

Walaupun kedua-dua kumpulan itu tampil pada penghujung acara, ribuan peminat tetap setia memenuhi stadium sehingga tirai konsert dilabuhkan, membuktikan pengaruh besar mereka dalam kalangan pencinta muzik tempatan.

Konsert tersebut turut diserikan dengan persembahan beberapa kumpulan muzik tempatan Melaka seperti Majestic, Chorus Senja, Illness dan Aura yang tidak kurang hebatnya mempamerkan bakat serta menghangatkan suasana pentas sepanjang malam.

E2fb1f78 f9ef 440d af4c 2b51c31b5ed0
SUASANA anak muda menghidupkan konsert dengan nyalaan lampu telefon bimbit.

Lebih membanggakan, konsert berkenaan berlangsung dalam keadaan terkawal, aman dan harmoni tanpa sebarang insiden salah laku, sekali gus mencerminkan kematangan golongan muda dalam menikmati hiburan secara berhemah dan bertanggungjawab.

Penganjuran Konsert Melayar Jiwa 1.0 itu bukan sahaja berjaya menghimpunkan peminat muzik dari seluruh Melaka, malah turut menggamit pengunjung dari luar negeri ini.

Ia secara tidak langsung menyerlahkan potensi negeri bersejarah ini sebagai destinasi pelancongan seni dan hiburan yang menjadi tren masa kini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post ANUGERAH PERDANA BELIA JULAI INI, PENGIKTIRAFAN UNTUK ANAK MUDA MELAKA
Next post TANJUNG BIDARA DUN PERTAMA DIPILIH LOKASI PENGANJURAN INTRADE DI MELAKA