
LEBIH 200 INSAN ISTIMEWA MERIAHKAN SERUMPUN RACE SPECIAL EDITION 2025
BANDA HILIR 4 September – Lebih 200 insan istimewa memeriahkan Program Serumpun Race Special Edition 2025 yang melibatkan enam buah muzium sekitar Banda Hilir, hari ini.
Exco Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Dr. Zool Raimy Abdul Ghaffar berkata program julung kali diadakan itu menyatukan golongan remaja serta kanak-kanak istimewa sekitar negeri ini.
Katanya, program itu diadakan bagi memberi peluang kepada peserta untuk menerokai keunikan enam komuniti utama negeri ini iaitu Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti dan Portugis menerusi aktiviti interaktif.
“Program unik ini memberi peluang kepada peserta untuk meneroka keunikan enam komuniti utama negeri ini yang mana menerusi aktiviti interaktif merangkumi seni kraf, permainan tradisional, makanan, pakaian dan tarian.
“Peserta diperlukan bergerak dari satu stesen (muzium) ke stesen lain dalam bentuk jelajah budaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Serumpun Race Special Edition 2025 di Auditorium Muzium Rakyat.

Mengulas lanjut, Zool Raimy berkata program tersebut merupakan anjuran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Nur Shahirah, Merlimau dengan kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Sebaran Budi dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri.
Tambahnya, matlamat program itu bertujun memberi pendedahan awal kepada anak-anak istimewa tentang kepelbagaian di Melaka.
“Kita juga mahu memupuk nilai hormat, toleransi dan perpaduan sejak usia muda; meningkatkan interaksi sosial antara peserta, fasilitator dan komuniti serta menjadikan budaya sebagai medium pemerkasaan dan penyatuan masyarakat,” katanya.
Serumpun Race Special Edition 2025 menyaksikan 30 kumpulan yang bersaing memenangi hadiah tempat pertama berupa wang tunai RM1,000 dan hamper; kedua RM600 dan hamper; ketiga RM400; tempat keempat dan kelima menerima RM150 serta hamper.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.