Sorting by

×

LEBIH 21,000 GAMATKAN AMBANG HARI MALAYSIA DI BANDA HILIR

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 16 September – Lebih 21,000 pengunjung menghangatkan sambutan Ambang Hari Malaysia 2025 Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jumlah itu direkod berdasarkan data ‘crowd monitoring’ Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak jam 8 malam tadi.

Menurut beliau, pelbagai pengisian telah ditampilkan bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia di Melaka, antaranya nyanyian lagu-lagu patriotik, ‘fun walk’ persembahan kebudayaan Melaka serta pelbagai lagi.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada masyarakat berbilang kaum, termasuk pelancong luar negara yang turut memeriahkan sambutan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan dan kita amat berbangga kerana dapat menonjolkan kepelbagaian yang ada dalam Negeri Melaka di atas satu pentas sempena Hari Malaysia 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan sambutan tersebut.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil.

Turut bersama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, program anjuran BPP Negeri Melaka dengan kerjasama MBMB dan Menara Taming Sari itu bermula seawal jam 8 malam dengan gimik penyerahan Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia.

Selepas itu, diadakan pelepasan peserta ‘Fun Walk’ dan diikuti persembahan di pentas utama berlatarbelakangkan arca Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Bangunan Stadthuys.

Img 20250916 wa0011
PERCIKAN bunga api mewarnai sambutan Ambang Hari Malaysia 2025 Peringkat Negeri Melaka 2025.

Pengunjung dihiburkan dengan beberapa persembahan, dimulakan dengan lagu ikonik Senandung Anak Melaka dan diikuti lagu-lagu patriotik serta persembahan tarian mewakili masyarakat Melayu, India dan Cina, selain etnik Sabah dan Sarawak serta persembahan pancaragam daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) St. Francis.

Paling menggamatkan suasana adalah segmen joget lambak yang turut disertai pengunjung berbilang kaum, termasuk pelancong asing yang terpesona dengan warisan seni budaya Melaka itu.

Malam penuh warna-warni itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api menandakan tibanya detik 16 September yang menjadi hari penting dalam sejarah pembentukan Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

602
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI LESTARIKAN SENI DONDANG SAYANG
Next post WTD, WTC 2025: MELAKA BAKAL PECAH BEBERAPA REKOD BAHARU