Lebih 3,000 sertai Perarakan Wangkang, Jumaat ini

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 9 Januari – Lebih 3,000 peserta akan menyertai upacara Perarakan Wangkang secara besar-besaran yang diadakan Jumaat ini (11 Januari).

Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan berkata, upacara itu merupakan antara tradisi masyarakat Baba dan Nyonya yang asalnya datang daripada wilayah Fujian, China.

Jelasnya, upacara itu merupakan simbolik kepada elemen kebaikan dan perpaduan yang akan disertai lebih 43 kumpulan.

Kumpulan itu, ujarnya, akan membawa sebuah kapal Wangkang dinamakan sebagai KR Kapal Raja Perpaduan Aman sepanjang hampir lima meter dan diiringi dua replika kapal yang mana ia akan berarak sejauh hampir 9.5 kilometer (km).

“Perarakan ini akan diadakan bermula pada jam 8.30 pagi bermula di Muzium Wangkang Melaka menuju ke Jalan Parameswara, Jalan Bukit Senjuang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Hang Tuah, Jalan Gajah Behrang, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Jonker dan akan berpatah balik ke Muzium Wangkang.

“Ia dijangka membabitkan sebanyak 22 perhentian yang mana simbolik upacara ini adalah untuk menjemput roh-roh atau hantu yang bergelimpangan, tidak mempunyai rumah dan kelaparan untuk dibawa menaiki kapal wangkang ini yang juga dinamakan sebagai kapal Hokkien sebelum dihantar ke alam lain.

“Pada sebelah malam, upacara ini akan diteruskan dengan perarakan ke Pulau Melaka di mana tapak Melaka Gateway akan menjadi lokasi untuk membakar replika kapal tersebut sebagai simbolik penghantaran roh-roh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Muzium Wangkang Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, Perarakan Wangkang yang disenarai sebagai Warisan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perlu diperluaskan dalam usaha memastikan budaya dan tradisi Baba dan Nyonya itu dapat didedahkan kepada generasi muda.

Katanya lagi, upacara itu tidak dilaksanakan secara berkala seperti setiap tahun namun ia hanya akan dianjurkan berdasarkan tarikh-tarikh tertentu yang ditetapkan.

“Sebelum ini upacara ini diadakan pada 2020 dan ia kembali dianjurkan tahun ini dan dijangkakan upacara ini bakal diadakan semula pada 2031 nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5673
Kongsi :
Previous post Berpesta ikan dalam ribut di Tambak Klebang
Next post Pegaga kini tanaman berharga
Ubah saiz-+=