Lebih 500 Coopmart akan ditubuhkan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PUTRAJAYA, 15 April – Lebih 500 kedai koperasi (Coopmart) yang diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi akan ditubuhkan di seluruh negara bagi membolehkan ahli koperasi menjana pendapatan serta membantu meringankan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhan Coopmart itu adalah kerana kerajaan menyedari peranan besar yang mampu dimainkan oleh koperasi kepada Keluarga Malaysia.

Beliau berkata kedai koperasi itu bukan sahaja membolehkan ahli koperasinya menjana pendapatan melalui dividen, malah menawarkan barangan keperluan asas serta pelbagai produk lain kepada penduduk setempat dengan harga yang rendah dan berpatutan.

“Langkah ini dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoriti penduduknya adalah golongan B40 selain juga ahli-ahli koperasi, para pengguna dan usahawan yang terlibat dalam rantaian bekalan ini,” katanya ketika melancarkan Coopmart dan Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Bhd di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata Coopmart akan mendapat bekalan langsung daripada pembekal koperasi seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan pembekal lain.

Beliau berkata kerajaan menerusi Program Coop Community Mart memperuntukkan sejumlah RM360,000 untuk bantuan infrastruktur dan modal pusingan bagi penubuhan Coopmart di kawasan perumahan rakyat iaitu masing-masing satu di Putrajaya dan Hiliran Ampang.

Ismail Sabri berkata sektor koperasi sehingga kini mencatat perolehan sebanyak RM41.47 bilion dengan jumlah keseluruhan anggotanya sebanyak 7.1 juta orang.

Bersandarkan kepada jumlah keanggotaannya yang besar itu, beliau berkata kerajaan melihat koperasi mempunyai peranannya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Malah gerakan koperasi boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu,” katanya.

Beliau berkata statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) setakat Disember tahun lepas  menunjukkan sebanyak 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan dengan perolehan melebihi RM820 juta.

“Jika kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosioekonomi dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara,” katanya.

Ini kerana sektor koperasi tempatan menawarkan peluang kepada Keluarga Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan dengan menganggotai dan memiliki saham koperasi yang juga bertindak sebagai pemasar produk keluaran ahli-ahlinya, katanya.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post Lapan jam bermandi peluh padam 10 rumah kedai terbakar
Next post Rakan Youtuber terkenal didakwa bunuh teman wanita
Ubah saiz-+=