
LEBIH 500 PENIAGA, PENGAYUH BECA BANDA HILIR BERALIH KEPADA ‘CASHLESS’
BANDA HILIR 9 Mei – Lebih 500 peniaga termasuk pengayuh beca Melaka di sekitar Banda Hilir telah mengaplikasikan inisiatif bayaran tanpa tunai (cashless) dalam urusan perniagaan seharian mereka.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, sejak diperkenalkan Januari lalu, Inisiatif Cashless MBMB telah merekodkan sebanyak 98.67 peratus kutipan pembayaran secara tanpa tunai.
Katanya, MBMB berhasrat untuk memastikan semua peniaga sekitar kawasan pelancongan itu dapat mengaplikasi inisiatif tersebut bagi memudahkan pengunjung dan pelancong, selain memperkasa platform digital.
“Inisiatif ini membuka peluang peniaga untuk menarik lebih ramai pelanggan yang kini lebih selesa dengan pembayaran secara digital.
“Selain itu peniaga juga akan mendapat rekod transaksi lebih teratur serta memudahkan sebarang urusan membabitkan permohonan geran, pinjaman, permohonan lesen, pengauditan dan lain-lain urusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Inisiatif Cashless MBMB bagi Tahun 2025 di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shadan berkata MBMB ambil pendekatan memperluaskan inisiatif itu dengan lebih efisien menerusi sistem bayaran digital seperti e-wallet, QR Pay atau perbankan digital untuk pelanggan membayar secara terus tanpa transaksi tunai.
“Inisiatif cashless ini bukan sekadar trend, ia merupakan keperluan semasa selain dapat meningkatkan ketelusan serta mengurangkan kebergantungan kepada tunai yang berisiko dari segi keselamatan.
“Meskipun begitu, kita masih membenarkan peniaga untuk berurusan dalam kaedah konvensional iaitu secara tunai namun perlu juga mempamerkan kod QR sebagai usaha mewujudkan masyarakat yang celik teknologi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.