MELAKA SEDIA RUANG BELIA KEMBANG POTENSI DALAM AKADEMIK, SUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 25 September – Peluang menyertai program akademik dan sukan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka memberi ruang kepada golongan belia mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang, kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, Ahmad Syahmi Hasbullah, 19.

Ahmad Syahmi berkata, kepelbagaian program yang disediakan membuktikan pembangunan belia di negeri ini tidak hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya turut membuka ruang untuk mereka mengembangkan bakat dalam bidang sukan dan kemahiran diri.

“Saya pernah menyertai aktiviti sukan yang dianjurkan Kerajaan Negeri baru-baru ini di Masjid Tanah dan pada masa sama, saya juga mengikuti program akademik yang disediakan untuk pelajar Tingkatan Enam untuk memantapkan lagi akademik.

“Bagi saya, program yang dianjurkan di Melaka ini menyeluruh. Ia bukan spesifik kepada satu bidang sahaja, sebaliknya meluas dan amat membantu anak muda di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengikuti Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri MeSRa Pendidikan SPM & STPM 2026 di Manipal University College Malaysia (MUCM) Melaka Campus, di sini, hari ini.

Menurutnya, kepelbagaian program berkenaan memberi peluang kepada golongan belia meneroka bidang yang diminati, di samping membina keyakinan diri menerusi pengalaman dan pendedahan yang diperoleh.

Katanya, penyertaan dalam Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri MeSRa Pendidikan turut membantunya membuat persediaan lebih baik bagi menghadapi peperiksaan STPM, khususnya menerusi pendedahan berkaitan teknik menjawab soalan.

“Program ini sangat membantu pelajar untuk membuat persediaan dan lebih yakin menghadapi peperiksaan yang bakal tiba,” katanya.

Menurutnya, pengalaman menyertai pelbagai program juga dapat meningkatkan keyakinan golongan belia untuk mengenal pasti potensi diri serta menentukan bidang yang ingin diceburi pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post KAPAL EX-KD SRI TERENGGANU KINI BERWAJAH BAHARU