Lebih 51,500 petugas barisan hadapan sektor pengangkutan terima vaksin mulai hari ini

Masa Membaca:2 Minit, 59 Saat

PELABUHAN KLANG 25 Jun – Lebih 51,500 petugas barisan hadapan di sektor pengangkutan terdiri daripada pelaut, petugas pelabuhan, lapangan terbang, pengangkutan darat serta rel akan menerima suntikan vaksin COVID-19, mulai hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementerian itu telah mendapat kelulusan daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada Isnin lepas (21 Jun), bagi melaksanakan Program Pemberian Vaksin kepada petugas barisan hadapan sektor itu.

Beliau berkata sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pengangkutan merupakan antara perkhidmatan perlu yang terus beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu bagi memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Program Pemberian Vaksin bagi sektor pengangkutan meliputi ketiga-tiga sektor perkhidmatan iaitu maritim, udara dan darat,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) sektor pengangkutan maritim, di sini hari ini.

Turur hadir Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

WEE beramah mesra dengan seorang penerima vaksin. Foto FB Wee Ka Siong.

Beliau berkata syarikat pengangkutan yang terlibat dengan program itu akan menanggung secara bersama kos penyediaan PPV manakala bekalan vaksin diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Wee berkata program pertama pemberian vaksin sektor pengangkutan dimulai di PPV swasta sektor maritim yang dikendalikan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang hari ini, melibatkan 10,000 pelaut serta petugas pelabuhan dengan kapasiti 1,000 orang sehari.

Katanya, LPK juga bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan manakala Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyelia bagi pelaut.

Jelasnya, kemudahan tersebut akan memanfaatkan seramai 18,596 orang atau 53 petugas penyelia dan petugas pelabuhan di wilayah tengah yang layak menerima vaksin bagi fasa pertama program berkenaan.

KHAIRY berbincang sesuatu dengan Wee sempena lawatan ke PPV sektor pengangkutan maritim. Foto FB Wee Ka Siong.
KHAIRY berbincang sesuatu dengan Wee sempena lawatan ke PPV sektor pengangkutan maritim. Foto FB Wee Ka Siong.

“Jumlah keseluruhan penyelia dan petugas pelabuhan di Malaysia adalah seramai 59,155 orang. Kriteria kelayakan penerima ditentukan oleh Kementerian Kesihatan dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk ibu hamil atau menyusu, atau lain-lain faktor perubatan,” katanya.

Menurut Wee Program Pemberian Vaksin sektor pengangkutan itu akan diteruskan selepas ini melibatkan sektor pengangkutan udara yang akan bermula pada 5 Julai di Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan 22,243 petugas lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan dan petugas kargo.

Bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV akan turut dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat divaksinasikan dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan bersama pihak CITF sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi/e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing) seperti Grab dan Foodpanda dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara.

Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV awam dan kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut, katanya.

Pada masa sama, Wee berkata pemberian vaksin sektor maritim yang diadakan hari ini juga adalah sempena sambutan Hari Pelaut Sedunia (Day of the Seafarer) pada 25 Jun setiap tahun.

“MOT komited dan akan terus bekerjasama dengan CITF untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama dalam memastikan petugas industri pengangkutan menerima vaksin secepat mungkin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

602
Kongsi :
Previous post Mazlan Lazim dilantik Timbalan Ketua Polis Negara
Next post Persidangan Parlimen secara hibrid akhir Ogos atau awal September
Ubah saiz-+=