Lega, rumah ayah akan dibaik pulih

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 23 April – “Alhamdulillah, akhirnya doa saya untuk ayah dapat kediaman yang selesa dimakbulkan juga,” kata Siti Aishah Mohd Jani, 31, anak kepada warga emas menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga.

Menurut Siti Aishah, bapanya Mohd Jani Bujang, 60, disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak tahun lalu dan perlu menjalani dialisis di rumah.

Katanya, keadaan rumah yang sudah usang terutama di bahagian dapur yang mengalami kerosakan serius menyebabkan bapanya berasa kurang selesa.

“Bumbung banyak yang sudah bocor, setiap kali hujan kami perlu sediakan baldi untuk menadah air, dapur pula berisiko roboh.

“Disebabkan keadaan rumah ayah pernah ditahan di wad akibat jangkitan, jadi apabila dimaklumkan rumah ayah akan dibaik pulih saya berasa amat bersyukur,” katanya.

Siti Aishah ditemui di kediaman bapanya bersempena Program i-CARE4U ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang turut dihadiri Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis, di Jalan Lama, Kampung Paya Rumput, hari ini.

Sementara itu Mohd Jani berkata, meskipun sedar keadaan kediamannya sudah usang dia berasa segan untuk memohon sebarang bantuan atau meminta-minta.

“Ketika masih sihat dan mampu melakukan kerja berat, saya buat apa yang termampu dan rumah pun masih boleh diduduki jadi tiada masalah untuk saya.

“Bila pihak kerajaan tampil untuk membantu, alhamdulillah dapatlah baiki bahagian yang rosak terutama dapur supaya lebih selesa,” katanya.

Manakala Mohd Hairulamin berkata, Mohd Jani adalah asnaf MAIM dan menerima beberapa bantuan bulanan daripada pihaknya.

“Dia kini sedang menjalani rawatan dialisis air di rumah dan dimaklumkan anggaran kos diperlukan berjumlah RM1,600 sebulan.

“Selain sumbangan daripada anak-anak, kos rawatan juga ditampung oleh MAIM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain kita juga syorkan untuk Mohd Jani menukar kaedah rawatan dialisis kepada cucian darah.

“Ini boleh dibantu sepenuhnya dengan bantuan haemodialisis di premis milik MAIM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

94
Kongsi :
Previous post Aidilfitri MADANI Melaka 2024 gemilang, luar biasa – KM
Next post Dua helikopter terhempas di Lumut, 10 disahkan meninggal dunia – TLDM
Ubah saiz-+=