Aidilfitri MADANI Melaka 2024 gemilang, luar biasa – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 23 April – Gemilang, luar biasa! Itu gambaran kemeriahan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan yang dihadiri lebih 20,000 tetamu itu menggambarkan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat negeri ini dalam menjayakan apa jua penganjuran tahun ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir meraikan sambutan berkenaan, selain memilih Melaka sebagai antara tujuh lokasi sambutan Aidilfitri MADANI 2024.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua agensi-agensi yang memberi kerjasama cukup baik dalam menjayakan sambutan berkenaan.

“Tidak dilupa kepada seluruh rakyat Negeri Melaka yang bersama meraikan sambutan ini dengan gembira dan amat luar biasa. Terima kasih semua,” katanya.

Beliau yang ditemani isteri Datin Seri Utama Zuriyah Abd Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas selesai majlis berkenaan, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6 Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Menteri dan Timbalan Menteri; Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), terdapat lebih 60 program lagi bakal dianjurkan di negeri itu.

“Insya-Allah, kita akan teruskan momentum dalam memastikan Melaka kekal menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

296
Kongsi :
Previous post Melaka pilihan pelabur kerana politik stabil, dasar ekonomi jelas – PM
Next post Lega, rumah ayah akan dibaik pulih
Ubah saiz-+=